top of page
nabalunews

Strategi Pelaburan Malaysia Digital tarik pelaburan RM224.72 bilion




17 Disember 2024


KUALA LUMPUR: Strategi Pelaburan Malaysia Digital, inisiatif lima tahun (2021-2025) atau DIF5 yang dilaksanakan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) berjaya menarik pelaburan sebanyak RM224.72 bilion yang mencipta 95,879 peluang pekerjaan digital baharu setakat suku ketiga 2024.


Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata pencapaian itu mencerminkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan bagi syarikat teknologi digital.


Beliau menjawab pertanyaan Senator Rita Sarimah Anak Patrick Insol ketika sesi soal jawab di Dewan Negara pada Isnin berkenaan pencapaian Kementerian Digital melalui inisiatif untuk mewujudkan 50,000 pekerjaan bernilai tinggi melalui DIF5 serta cabaran yang dihadapi dalam melaksanakannya.


Gobind berkata kementerian menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menyediakan beberapa program untuk mendepani cabaran digitalisasi, lapor Bernama.


Katanya setakat November lepas, program MD Workforce Directory mempunyai 219 kursus dan pensijilan dengan permintaan tinggi dalam pasaran yang dirangka khusus dan diiktiraf oleh pakar industri digital seperti kecerdasan buatan (AI), data sains, keselamatan siber, animasi dan pengkomputeran awan.


"Sebanyak 4,644 peserta telah menyertai inisiatif MD Workforce Training setakat November lepas, untuk memberikan galakan kepada tenaga kerja tempatan dalam mempertingkat kemahiran serta memberi latihan semula dalam kursus atau pensijilan berkaitan teknologi seperti AI, penyimpanan awan, data sains dan animasi.


"Sebanyak 2,481 peserta menyertai program MD Workforce Place & Train sehingga November lepas, untuk memperkasakan penganggur dengan kemahiran digital canggih seperti pemasaran digital, keselamatan siber, aspek berkaitan pusat data dan sebagainya melalui kerjasama dengan rakan industri terpilih," katanya.

Comments


bottom of page