Suami Isteri Ditahan Bersama 12.5 kilogram Dadah

25 Mac 2025
KOTA KINABALU: Sepasang suami isteri ditahan bersama 12.5 kilogram syabu bernilai RM402,720, dalam operasi yang dijalankan di Pejabat Pos Tawau, 22 Mac lalu.
Pasangan berusia 31 dan 38 tahun itu berjaya ditahan kira-kira jam 1.20 petang oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, semasa pemantauan dilakukan, pasukan operasi mengesan pasangan berkenaan datang ke pejabat pos dengan menaiki sebuah kenderaan jenis Bezza.
Katanya, hanya suspek lelaki masuk ke dalam pejabat sebelum membawa keluar dua kotak dalam keadaan mencurigakan.
“Pasukan serbuan terus bertindak menahan suspek lelaki terbabit dan seorang wanita perempuan yang berada di tempat duduk pemandu.
“Hasil pemeriksaan, polis menemui lima kotak besar pelbagai saiz dan lapan bungkusan plastik mengandungi serbuk dipercayai dadah dengan anggaran berat 12.585 gram,” kataya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah, hari ini.
Jauteh berkata, semua dadah berkenaan dipercayai dibawa masuk melalui perkhidmatan udara dan akan diserahkan kepada pihak tertentu.
Katanya, hasil ujian saringan air kencing mendapati, kedua-dua suspek negatif dan hanya suspek lelaki mempunyai sebarang rekod jenayah lampau berkaitan Seksyen 15 Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Polis percaya kedua-dua suspek hanya bertindak sebagai transporter namun siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jauteh berkata, berdasarkan kes terbaru ini, jelas menunjukkan dadah masih boleh dihantar menggunakan perkhidmatan udara.
Sehubungan itu katanya, pihak polis akan mengukuhkan kerjasama khususnya dengan syarikat perkhidmatan kurier dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di negeri ini bagi menangani kegiatan pengedaran dadah.
“Diharap, usaha membanteras kegiatan pengedaran dadah ini diteruskan dengan lebih banyak kejayaan-kejayaan di masa akan datang,” katanya.
Comments