top of page
nabalunews

Subsidi bersasar RON95 perlu dibuat, elak ketirisan - Amir Hamzah




5 November 2024


KUALA LUMPUR: Penyasaran subsidi petrol RON95 perlu dilakukan kerana berlaku ketirisan melibatkan penggunaan oleh golongan yang tidak sepatutnya berikutan perbezaan harga petrol yang besar, kata Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan.


Beliau berkata, berdasarkan data semasa, dianggarkan penggunaan petrol bagi segmen bukan warganegara, komersial dan aktiviti penyeludupan mencecah 40 peratus daripada kadar penggunaan keseluruhan petrol.


"Memandangkan tahap subsidi petrol RON95 sekitar RM20 billion setahun, jika ketirisan (subsidi petrol) terhadap warga asing, komersial dan golongan kaya dapat ditangani ia bakal menjana penjimatan sehingga RM8 billion setahun," katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini, lapor Bernama.


Beliau menjawab soalan tambahan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) berhubung mekanisme kerajaan dalam menangani ketirisan subsidi petrol kepada bukan warganegara dan golongan T15, serta pada masa sama memastikan golongan B40 dapat menikmati subsidi bersasar petrol RON95 kelak.


Amir Hamzah berkata pada masa sama, kadar inflasi kekal pada tahap terkawal dan baru-baru ini menunjukkan penurunan dengan kenaikan Indeks Harga Pengguna (CPI) 2.0 peratus pada Julai 2024, 1.9 peratus (Ogos) dan 1.8 peratus (September).

Comments


bottom of page