Subsidi telur ayam dikurangkan 50 peratus mulai esok dan ditamatkan pada Ogos
- nabalunews
- 6 hours ago
- 2 min read

30 April 2025
PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan untuk mengurangkan kadar subsidi telur ayam kepada lima sen daripada 10 sen bermula esok dan seterusnya ditamatkan sepenuhnya mulai 1 Ogos depan.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira komitmen pihak industri untuk memastikan pengeluaran telur ayam yang mencukupi dan terjamin berikutan kos pengeluaran sudah stabil.
Katanya, ia terbukti sepanjang musim perayaan Aidilfitri lalu yang mana ketersediaan bekalan adalah mencukupi dengan harga kompetitf.
“Langkah penyasaran semula subsidi adalah lebih adil memandangkan ketika ini ia turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.
“Hasil penjimatan daripada peruntukan terbabit kelak boleh digunakan untuk pembiayaan projek tertentu untuk kesejahteraan rakyat selaras dengan nilai MADANI,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, katanya, kerajaan juga mengambil kira tempoh kawalan harga dan pemberian subsidi yang terlalu lama adalah tidak mampan bagi kelangsungan industri pengeluar telur tempatan serta kewangan negara.
“Sejak Februari 2022 hingga Disember 2024, kerajaan membelanjakan hampir RM2.5 bilion untuk pembayaran subsidi telur ayam kepada pihak industri bagi menampung peningkatan kos pengeluaran.
“Ia berikutan pandemik Covid-19 serta kesan peperangan antara Ukraine dan Russia ke atas harga import soya dan jagung bijian,” katanya.
KPKM berkata, bagi meminimumkan impak ke atas kos sara hidup, kementerian itu dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan langkah intervensi, antaranya pihak industri bersetuju untuk memperkenalkan telur gred khas pada harga munasabah.
Dalam pada itu, katanya, rakyat boleh mendapatkan bekalan telur pada harga yang lebih kompetitif melalui inisiatif Jualan Agro MADANI dan Jualan Rahmah di seluruh negara termasuk di semua outlet Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).
“KPDN pula akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan melalui pemantauan berterusan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011) bagi membanteras sebarang aktiviti pencatutan atau manipulasi harga oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Orang ramai boleh menyalurkan sebarang maklumat atau aduan berhubung isu bekalan telur melalui e-mel rasmi KPKM di alamat pro@kpkm.gov.my atau melalui hotline Ibu Pejabat KPKM Putrajaya 03-8000 8000.
תגובות