Sudah tiba masa politik Sabah lebih matang menjelang 2025
31 December 2024
TAWAU: Sudah tiba masanya dalam lembaran baharu tahun 2025, semua pemimpin parti di negeri ini berpolitik lebih matang supaya Sabah terus maju seperti negeri lain, kata Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Datuk Rina Jainal.
Menurutnya, kebanyakkan pemain politik di negeri ini sudah melalui pelbagai fasa dalam kariernya dan perpindahan parti sudah menjadi asam garam untuk mencari kesesuaian perjuangan demi nasib rakyat.
"Saya kini berpaut bersama Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang merupakan parti lokal terbesar di Sabah kerana melihat perjuangannya lebih telus dalam membela nasib rakyat.
"Jika dilihat pemimpin kerajaan negeri hari ini sudah melalui fasa politik yang cukup mendewasakan bermula dengan berpaksi parti nasional sehinggalah membentuk parti lokal yang kuat,"katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, GRS dibentuk kerana melihat aspirasi rakyat yang mahu menuntut perubahan kemajuan yang setimpal dengan hasil negeri dan rakyatnya mahukan suara yang aman tapi tegas dalam membentuk dasar berperlembagaan dengan hak kesaksamaan sebagai warganegara Malaysia.
Justeru, katanya, berdiri sebagai satu suara lokal seterusnya menjadi keseimbangan yang kuat bersama Sarawak dalam blok Borneo dan mampu menuntut Perjanjian Malaysia 1963 ke peringkat lebih nyata.
Katanya, pendekatan matang Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menubuhkan GRS dengan menghimpun semua pemimpin lama di bawah suara gabungan sentimen Sabahan dilihat tepat.
Rina berkata, pendekatan kerajaan GRS hari ini bukan hanya untuk infrastruktur sahaja, tetapi lebih kepada rakyat merasai secara terus bantuan yang disediakan.
Antaranya, bantuan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya, peruntukan RM50 juta bantuan membayar bil elektrik, RM300 untuk keluarga miskin, RM5,000 ‘one off’ kepada penjaja, bantuan PIBG dan banyak lagi.
"Semua bantuan itu adalah inisiatif kerajaan GRS bagi membantu rakyat dan tidak pernah rakyat dapat daripada kerajaan lalu,"katanya.
Comments