top of page
  • nabalunews

Sukan Paralimpik Paris 2024 : KBS tidak terkilan pencapaian Malaysia


8 September 2024


PARIS: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, prestasi rata-rata atlet pada Sukan Paralimpik Paris 2024 secara keseluruhannya memuaskan dan ada dalam kalangan mereka yang berjaya memperbaiki catatan peribadi malah nyaris menyumbang emas untuk negara.


Sehubungan itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak terkilan dengan pencapaian kontinjen negara yang tidak mencapai sasaran empat emas yang ditetapkan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).


"Seperti Datuk Abdul Latif Romly pada mulanya pegang tempat pertama namun dipintas saat akhir oleh pemenang emas.


"Kita tahu beliau ada kecederaan namun masih lakukan terbaik dan buat catatan musim terbaik,” katanya seperti dilaporkan Bernama ketika bercakap

kepada media Malaysia di sini.


Sementara itu, Hannah berkata, cadangan Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin agar semua pengurusan atlet diserahkan kepada mereka dan persatuan sukan terlibat ketika temasya sukan seperti Sukan Paralimpik, tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya.


Beliau berkata, keputusan itu tidak boleh dilakukan satu pihak serta perlu berbincang bersama Majlis Sukan Negara, jurulatih dan atlet berhubung cadangan diutarakan Megat D Shahriman itu.


Sebelum ini Megat D Shahriman mahu mengadakan perbincangan bersama MSN bagi mencadangkan agar hanya satu pihak sahaja mengepalai kontinjen negara pada mana-mana temasya sukan.


Hannah juga memaklumkan pasca penilaian prestasi kontinjen Malaysia di Sukan Paralimpik 2024 akan dilaksanakan selepas berakhirnya Le Tour de Langkawi 2024 pada 29 September hingga 6 Oktober ini.


Beliau pada masa sama berkata pihaknya akan menggunakan platform penganjuran temasya Para Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak dijadual dari 22 hingga 28 September ini bagi aspek pemerkasaan atlet muda.


Malaysia menamatkan cabaran Sukan Paralimpik Paris 2024 dengan membawa pulang dua pingat emas menerusi jaguh badminton para, Cheah Liek Hou bagi acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) dan jaguh powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin bagi kategori lelaki 72 kilogram.


2 pingat perak dimenangi Datuk Abdul Latif Romly dalam lompat jauh T20 (kecacatan intelektual) dan Muhammad Ziyad Zolkefli, lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual).


Manakala satu pingat gangsa diraih Eddy Bernard dalam acara 100m lelaki T44 (kecacatan fizikal).


Sukan Paralimpik Paris 2024 yang bermula 28 Ogos lalu melabuhkan tirainya malam ini.

Comments


bottom of page