top of page
nabalunews

Sukaneka Sempena Hari Sukan Negara IPD Kota Belud Disambut Meriah



13 Oktober 2024


KOTA BELUD: Majlis Penutupan Sukaneka Sempena Hari Sukan Negara Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud yang berlangsung pada 12 Oktober 2024 disambut dengan penuh meriah.


Acara penutupan tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain.


Sukaneka yang berlangsung selama seminggu ini menyaksikan pelbagai aktiviti menarik yang melibatkan anggota serta keluarga besar IPD Kota Belud.


Antara acara yang dianjurkan termasuk pertandingan bola tampar, tarik tali, lari dalam guni, tiup belon untuk kanak-kanak, serta cabutan tiket bertuah.


Tidak ketinggalan, beberapa permainan tradisional juga turut diadakan bagi memeriahkan lagi suasana.


Program ini menjadi acara tahunan IPD Kota Belud dan bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga IPD, di samping memupuk amalan gaya hidup sihat melalui penglibatan dalam aktiviti sukan.


Dengan adanya aktiviti-aktiviti ini, ia diharapkan dapat meningkatkan kesejahteraan fizikal dan mental anggota IPD Kota Belud.


Selain itu, difahamkan bahawa IPD Kota Belud turut mengamalkan Program Gaya Hidup Sihat yang memperuntukkan satu jam setiap hari Jumaat untuk aktiviti-aktiviti kesihatan.


Program ini bertujuan memastikan warga IPD Kota Belud sentiasa cergas dan bertenaga dalam melaksanakan tugas-tugas kepolisan harian mereka.


Majlis ini turut dihadiri oleh Ketua-ketua Bahagian, Pegawai Kanan Polis, Anggota Pangkat Rendah, kakitangan awam, serta ahli-ahli Persatuan Keluarga Polis (PERKEP).


Suasana menjadi lebih ceria dengan kehadiran anak-anak polis yang turut serta dalam acara sukaneka.


Majlis diakhiri dengan penyampaian hamper kepada semua pemenang bagi setiap acara yang dipertandingkan, menambah lagi kemeriahan penutup program tersebut.


Dengan penglibatan aktif daripada pelbagai pihak, sukaneka ini bukan sahaja berjaya mengeratkan hubungan kekeluargaan warga IPD, tetapi juga meningkatkan semangat kesukanan dan kecergasan di kalangan anggotanya.

Comments


bottom of page