Sultan Selangor tidak setuju cadangan garis panduan untuk umat Islam hadiri majlis perayaan bukan Islam
8 Februari 2025
KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak bersetuju dengan cadangan mewujudkan garis panduan kepada umat Islam yang menghadiri majlis perayaan bukan Islam khususnya di Selangor.
Sultan Sharafuddin bertitah, sebagai Ketua Agama Islam di negeri Selangor, Baginda berpandangan cadangan garis panduan ini dibuat pada waktu yang tidak bersesuaian.
Baginda menegaskan, ketika ini sekalian rakyat sedang giat mengeratkan amalan muhibah di kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama demi mengukuhkan perpaduan nasional.
“Polemik yang tercetus ini telah sedikit sebanyak menimbulkan keresahan kepada masyarakat dan ini pastinya akan menjejaskan keharmonian yang telah sedia terjalin.
“Islam menerusi Al-Quran dan Sunnah adalah garis panduan terbaik sejak zaman berzaman dan diperkuat dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah umat Islam di Malaysia.
“Justeru, isu terpesongnya akidah umat Islam susulan amalan berkenaan tidak timbul kerana Baginda percaya umat Islam kini tahu tentang batas-batas akidah serta tidak mudah terpengaruh dan bijak menilai baik buruk sesuatu tindakan,” titah baginda menerusi satu hantaran di laman Facebook Selangor Royal Office, hari ini.
Baginda turut mengingatkan, sebagai sebuah negara majmuk dengan rakyatnya menganuti pelbagai agama dan kepercayaan, toleransi dalam beragama seharusnya tidak dikompromi.
Dalam masa sama, Baginda bertitah setiap rakyat perlu menghormati dan memperakui bahawa Islam adalah agama persekutuan sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.
“Semua umat Islam khususnya di negeri Selangor dinasihatkan agar sentiasa berusaha untuk terus memperkukuh akidah dan iman masing-masing dengan mendalami ilmu agama dan melakukan segala suruhan Allah Subhanahu Wata’ala serta meninggalkan segala larangan-Nya.
“Apabila setiap umat Islam mencapai tahap akidah yang teguh dan kesempurnaan iman hakiki, serta memantapkan keyakinan kepada Allah Subhanahu Wata’ala, maka kita semua tidak akan mudah terpesong atau terpengaruh dengan anasir-anasir luar,” tegas Baginda.
Comments