Sumbangan Empat Motosikal Kepada Balai Polis Luyang
- nabalunews
- 6 hours ago
- 1 min read

29 April 2025
KOTA KINABALU: Sebuah syarikat aksesori kenderaan bermurah hati tampil menyumbangkan empat motosikal kepada Balai Polis Luyang.
Sumbangan empat motosikal itu adalah untuk kemudahan anggota polis menjalankan rondaan cegah jenayah di sekitar Luyang.
Sumbangan diserahkan kepada Ketua Balai Polis Luyang, Sub Inspektor Rashidi Nawawi dalam satu majlis penyerahan ringkas pada Isnin.

Pengurus KK Auto Detailer Sdn Bhd, Mclaren Zang Ming Hui, ia adalah sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat berkenaan dalam menyumbang kepada masyarakat menerusi pasukan keselamatan.
“Kita terpanggil untuk membantu pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kesedaran pentingnya rondaan bermotosikal di sesuatu kawasan.
"Motosikal ini bagi memudahkan penugasan anggota polis dalam menjalankan rondaan cegah jenayah, khususnya di kawasan Luyang.

"Kita berharap menerusi sumbangan ini, rondaan cegah jenayah dapat ditingkatkan sekali gus menurunkan kadar jenayah di Kota Kinabalu, khususnya di sekitar Luyang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyeraham ringkas di Balai Polis Luyang dan turut disaksikan Ketua Jabatan Pengurusan Kontinjen Sabah, Senior Asisten Komisioner, Nik Md Zain Nik Omar.
Menurutnya, kehadiran lebih kerap anggota polis bermotosikal di sekitar Luyang selepas ini akan dapat meyakinkan lagi orang ramai, khususnya penduduk setempat terhadap tahap keselamatan di kawasan berkenaan.
Pada masa yang sama, katanya ia juga sebagai satu amaran kepada penjenayah bahawa sebarang perbuatan jenayah sentiasa diawasi pasukan polis menerusi rondaan di semua kawasan berisiko.
Comments