Sumbangan Paskah Kukuhkan Perpaduan Gereja-Gereja di Kadamaian
- nabalunews
- 2 days ago
- 2 min read

15 April 2025
KOTA BELUD: Sempena sambutan Paskah, seluruh komuniti gereja di kawasan Kadamaian menzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas sumbangan tulus daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, ketika 'Majlis Penyerahan Watikah Perlantikan JKKK dan pemberian sumbangan kasih kepada gereja-gereja dan JKKK Kawasan Kadamaian' pada Ahad lalu.
Dalam majlis tersebut, beberapa wakil gereja tampil memberikan penghargaan terhadap usaha konsisten Ewon yang disifatkan sebagai lambang perpaduan dan kasih sayang pemimpin terhadap rakyat tanpa mengira latar belakang.
Wakil Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) Pinasang Tamu Darat, Jerry Malagob, menyifatkan pemberian sempena Paskah ini sebagai bukti kasih sayang kerajaan kepada rakyat. Beliau berkata, "Kami sangat bersyukur dan berterima kasih atas keprihatinan yang ditunjukkan, khususnya oleh YB Ewon yang sentiasa dekat di hati rakyat."
Nada yang sama turut dikongsi oleh Sapinus Tuboh dari Gereja Roman Catholic (RC) St. Patrick Kiau Nuluh, yang menyifatkan komitmen Ewon bukan hanya terhad kepada satu kawasan, tetapi meliputi seluruh masyarakat gereja di Kadamaian. “Sumbangan ini mencerminkan kepemimpinan yang inklusif dan mendalam dalam memahami keperluan komuniti,” katanya.
Wakil Gereja Seventh Day Adventist (SDA) Kampung Botung Narinang, Marsal Wedmars pula menegaskan bahawa keprihatinan Ewon tidak bersifat bermusim, sebaliknya berterusan demi kesejahteraan jemaat. Beliau berharap agar Ewon terus memimpin Kadamaian dalam jangka masa panjang.
Sementara itu, Loungkin Gimpoton yang mewakili Gereja SIB Pekan Kota Belud dan juga selaku Pengerusi Majlis Gereja menekankan bahawa sumbangan tersebut bukan kali pertama, malah menjadi amalan tahunan sejak Ewon memegang jawatan ADUN. “Tidak ada satu pun gereja yang tertinggal. Sama ada besar mahupun kecil, semuanya diberi perhatian,” jelas Loungkin.
Beliau turut menambah bahawa bantuan ini membantu meringankan beban kewangan gereja-gereja dalam menjalankan aktiviti Paskah.
Langkah Ewon yang terus-menerus menyokong institusi keagamaan di Kadamaian secara menyeluruh telah berjaya mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat. Usaha seperti ini bukan sahaja memperkukuh keharmonian antara komuniti, malah memperlihatkan nilai sejati kepemimpinan berasaskan kasih, hormat dan kebersamaan.
Comments