Suspek Kes Bunuh Ditahan

4 Mac 2025
SANDAKAN: Seorang lelaki berusia 31 tahun yang disyaki suspek kes bunuh membabitkan seorang mangsa wanita berjaya ditahan dalam tempoh 24 jam.
Lelaki warga tempatan itu berjaya ditahan di kawasan Batu 2, di sini, bagi membantu siasatan berhubung kematian wanita berusia 58 tahun.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, pihaknya menerima maklumat orang awam berhubung penemuan mayat mangsa di kawasan setinggan Bukit Batu 2 1/2, di sini, kira-kira jam 5.30 petang, Ahad lalu.

Katanya, berdasarkan siasatan awal yang dilakukan pasukan polis mendapati mayat wanita terbabit cedera di bahagian kepala.
“Hasil maklumat orang awam dan risikan, suspek berjaya ditahan kira-kira jam 5.30 petang Isnin oleh sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan dan Cawangan D9 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.
“Dengan penahanan suspek, pihak polis percaya telah berjaya menyelesaikan kes berkenaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.
Comments