top of page

Suspek kes gaduh ditahan

nabalunews


19 Mac 2025


TAWAU: Seorang remaja lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung satu insiden pergaduhan yang berlaku di Kompleks Sukan Tawau, di sini, baru-baru ini.


Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, berdasarkan siasatan awal, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 9.30 malam, Isnin lalu.


Katanya, mangsa bersama tiga rakannya berada di kompleks sukan berkenaan sebelum didatangi sekumpulan individu yang menunggang motosikal.


“Berlaku pertikaman lidah antara kedua-dua pihak dan akhirnya mencetuskan kepada pergaduhan.


“Dalam kejadian itu, rakan mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala selepas dipukul dengan menggunakan topi keledar oleh salah seorang suspek,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Menurutnya, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau telah melakukan operasi mengesan suspek.


Katanya, hasil siasatan membawa kepada penahanan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun di kawasan Taman Univilla, Tawau, kira-kira jam 1.00 tengah hari, kelmarin.


“Dalam tangkapan itu, pihak polis turut merampas sebuah telefon bimbit milik suspek dan giat mengesan individu lain yang terlibat dalam kejadian berkenaan.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.


“Selain itu, suspek juga disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata atau alat berbahaya, yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda atau sebatan,” katanya.


Sehubungan itu, Jasmin menasihati orang ramai agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti yang boleh mencetuskan pergaduhan dan mengancam keselamatan awam.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page