top of page
nabalunews

Suspek kes pecah rumah ditahan



31 Julai 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


TAWAU: Seorang lelaki warga asing yang disyaki terlibat kes pecah masuk rumah di Kampung Blok 31, Jalan Apas, awal bulan ini, berjaya ditangkap polis, semalam.


Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek berusia 24 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Balai Polis Bandar Sri Indah (BSI) yang menjalankan tugas pencegahan jenayah.


"Tangkapan ke atas suspek dibuat hasil maklumat yang diterima dan laporan polis dibuat mangsa pada 4 Julai lalu," katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Menurutnya, polis menerima laporan dibuat seorang mangsa yang mengatakan rumahnya di kampung itu dipecah masuk apabila mendapati pintu belakang rumah dipecahkan sekitar jam 5.40 petang.


Katanya, pemeriksaan lanjut di dalam rumah mendapati cermin belakang turut dirosakkan dan beberapa barangan milik mangsa didapati hilang iaitu sebuah televisyen, telefon bimbit dan tabung duit yang dianggarkan berisi wang RM2,000.


Jasmin berkata, siasatan kes itu masih berjalan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.


Mengulas lanjut, beliau berkata, polis daerah ini sedang giat menjalankan operasi berkonsepkan agresif policing dalam usaha menangani kes jenayah dan dadah, demi memastikan Tawau selamat, aman dan sejahtera.

Comments


bottom of page