top of page
  • Wartawan Nabalu News

Syarikat pelabur cari lebih 800 pekerja tempatan di Sabah


8 Julai 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Dua syarikat pelabur besar di Sabah, SBH Kibing Solar New Materials (M) Sdn. Bhd. dan SBH Kibing Silicon Materials (M) Sdn. Bhd., menawarkan lebih 800 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan yang masih belum diisi.


Syarikat-syarikat ini melabur sejumlah RM2.48 bilion untuk membina kilang-kilang pembuatan kaca solar dan pemprosesan pasir silika di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan Kudat, yang dijangka beroperasi pada penghujung tahun ini.


Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Phoong Jin Zhe, berkata pelaburan ini telah mewujudkan sebanyak 2,100 peluang pekerjaan, tetapi hanya 54 peratus daripadanya telah diisi setakat ini.


Beliau berkata kementeriannya telah mengambil langkah proaktif untuk menyelesaikan masalah kekurangan tenaga kerja ini dengan mengadakan mesyuarat bersama jabatan dan agensi yang berkaitan serta institusi kemahiran dan pengajian.


"Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE) telah mengambil langkah proaktif untuk menangani keperluan tenaga kerja yang mendesak ini dengan mengadakan mesyuarat bersama Jabatan dan Agensi yang berkaitan serta institusi kemahiran dan pengajian termasuk Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Politeknik Kota Kinabalu pada bagi memastikan kekosongan jawatan ini dapat diisi sebelum kilang syarikat pelabur beroperasi yang dijangkakan pada penghujung tahun ini," katanya dalam satu kenyataan.


Tambah Phoong, antara jenis pekerjaan yang ditawarkan adalah seperti chargeman, boilerman, steam engineer, authorised gas tester, forklift driver, shovel driver, dan sebagainya.


Beliau juga menyatakan bahawa syarikat-syarikat pelabur ini akan memberikan pelbagai faedah dan insentif kepada pekerja-pekerja tempatan yang diterima, termasuk latihan di dalam dan luar negara untuk peningkatan kerjaya mereka.


Oleh itu, beliau menyeru kepada rakyat Sabah yang sedang mencari pekerjaan untuk memohon pekerjaan yang bersesuaian di syarikat-syarikat pelabur ini.


"Peluang-peluang pekerjaan yang disediakan ini bolehlah dipohon melalui laman portal MYFutureJob, Jobstreet, Indeed dan Jora atau pemohon boleh mengemukakan resume di alamat emel sbhkibing@gmail.com. Sila hubungi Angelica Ashley Soon di talian 018-2801379 untuk sebarang pertanyaan lanjut," katanya.


Comments


bottom of page