Syarikat penerbangan AirAsia dicadang tingkatkan kapasiti kargo udara di Tawau
3 Februari 2025
Oleh: Wartawan Nabalu News
TAWAU: Syarikat penerbangan AirAsia dicadang supaya meningkatkan kapasiti kargo udara di Tawau serta meneroka kemungkinan membuka lebih banyak penerbangan kargo terus ke pasaran antarabangsa.
Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Tionghua Tawau (CCCT), William Tan berkata, cadangan itu dilihat relevan bagi memenuhi permintaan eksport yang semakin meningkat.
Katanya, selain menjadi destinasi pelancongan penting, Tawau juga memiliki potensi besar untuk pembangunan kargo udara, khususnya dalam eksport hasil pertanian, makanan laut, dan barangan bernilai tinggi.
“Daerah Tawau kaya dengan sumber pertanian dan perikanan, makanan laut serta hasil pertanian berkualiti tinggi yang mendapat permintaan tinggi di pasaran antarabangsa.
“Oleh itu, sekiranya AirAsia dapat memanfaatkan rangkaian penerbangan dan sistem logistiknya untuk menjadikan Tawau sebagai hab kargo serantau, ini akan meningkatkan lagi daya saing perniagaan tempatan dan merangsang perdagangan,”katanya ketika ditemui, hari ini.
William berkata, perkara itu sudah diutarakan semasa sesi libat urus Air Asia, baru-baru ini yang dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia (Pengurusan Korporat), Datuk Captain Voo Chee Soon, yang juga merupakan anak kelahiran Tawau.
Dalam masa yang sama, William turut menyeru peniaga tempatan dan industri berkaitan supaya membuat persiapan awal dan memanfaatkan peluang yang bakal wujud, hasil pertambahan jumlah pelancong di daerah ini.
Katanya, sektor perhotelan, makanan dan minuman, peruncitan, serta pengangkutan perlu meningkatkan kualiti perkhidmatan dan bekerjasama dengan pihak berkaitan untuk menawarkan pengalaman pelancongan yang lebih baik.
Dalam sesi libat urus berkenaan, Captain Voo antara lain menyatakan AirAsia merancang untuk meningkatkan kesaling-hubungan udara Sabah secara besar-besaran pada tahun 2025 dengan sasaran mengangkut 5.1 juta penumpang melalui tiga lapangan terbang utama di Sabah, iaitu Kota Kinabalu, Sandakan, dan Tawau.
Jumlah itu hampir dua kali ganda berbanding 3.7 juta penumpang pada tahun 2024 dan Tawau dijangka menerima sekitar satu juta pelancong, termasuk domestik dan antarabangsa.
Commentaires