top of page
Farah Salim

Syed Saddiq gesa agar kebebasan badan kehakiman negara perlu dipertahankan


Syed Saddiq (tengah) hadir memberikan sokongan terhadap Perhimpunan Untuk Kebebasan Badan Kehakiman anjuran Majlis Peguam di Padang Merbok pagi Jumaat. (Sumber Foto Twitter Syed Saddiq)

17 Jun 2022

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menggesa agar kebebasan dan integriti badan kehakiman negara perlu dipertahankan.


Tambah beliau, perkara itu penting demi kebaikan segenap lapisan masyarakat di Malaysia.


Pagi tadi, beliau hadir memberikan sokongan terhadap Perhimpunan Untuk Kebebasan Badan Kehakiman anjuran Majlis Peguam di Padang Merbok.


“Mereka hanya ingin mempertahankan institusi kehakiman negara yang saya rasa jika dipelihara dan dijaga, nikmatnya akan dirasai oleh semua termasuk anggota polis, penjawat awam dan juga tokoh korporat.


“Sebab itu saya pun di sini sebagai ahli Parlimen untuk mempertahankan institusi kehakiman negara yang bebas, berintegriti dan beramanah,” katanya.


Kira-kira 500 peserta perhimpunan berkumpul telah di Padang Merbok pada pagi Jumaat bagi menuntut kebebasan terhadap badan kehakiman susulan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan terhadap hakim Mahkamah Rayuan, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.


Siasatan yang didedahkan kepada umum itu dilakukan ekoran catatan daripada blog politik mendakwa bekas hakim Mahkamah Tinggi itu mempunyai kekayaan tidak dapat dijelaskan.


Sementara itu, Syed Saddiq berasa kecewa kerana perarakan himpunan berkenaan yang bermula pada jam 10 pagi Jumaat untuk bergerak dari Padang Merbok ke Parlimen dihalang polis.


“Sedikit kecewa mengapa mereka tidak benarkan untuk berjalan dengan aman menuju ke Parlimen khususnya apabila permohonan kebenaran telah pun dibuat jauh lebih awal,” jelasnya.


Hadir sama pada perhimpunan tersebut ialah bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenavasan dan bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat yang juga bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.


Turut kelihatan beberapa ahli Parlimen Pembangkang antaranya, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin; Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim dan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh.



Comentários


bottom of page