top of page
nabalunews

SYED SADDIQ PERSOAL KOMPAUN RAKYAT, MENTERI LANGGAR SOP



Syed Saddiq Abdul Rahman

27 Feb 2021


Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Abdul Rahman mempersoalkan denda atau kompaun yang dikenakan terhadap rakyat biasa yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP) sedangkan menteri dan parti pemerintah yang langgar SOP tidak dikenakan denda.


Dalam Perkongsiannya melalui laman sosial Facebook hari ini, beliau menyatakan bahawa rakyat secara umum sudah faham dan patuh dengan pelaksanaan SOP di negara ini.



"Kalau keluar rumah, pakai mask. Kalau masuk kedai, scan MySejahtera. Kalau berniaga, terhad sampai pukul 10 malam sahaja. Kita semua sudah tahu peraturan begini.


"Apa yang rakyat keliru adalah mengapa kalau rakyat buat salah, terus kena kompaun serta-merta? Itupun kena denda dengan nilai maksimum RM1,000.


"Tapi kalau menteri dan parti politik pemerintah, langgar SOP, buat jamuan pun tak kena denda. Sampai kena tunggu arahan Jabatan Peguam Negara baru kompaun.


"Mesyuarat pilihan raya siap boleh buat jelajah negeri ke negeri. Kalau macam ni boleh. Tapi kalau rakyat biasa, sampai kena tambah denda naik jadi RM10,000," dakwanya.


Bermula 11 Mac ini, kadar kompaun baharu akan berkuatkuasa, mengikut Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang diwartakan pada 25 Feb lalu.



Oleh itu individu yang melanggar peraturan atau SOP ditetapkan bagi pencegahan dan kawalan pandemik Covid-19, akan berdepan kompaun sehingga maksimum RM10,000.


Syarikat atau pertubuhan yang melakukan kesalahan sama, pula boleh dikenakan kompaun sehingga maksimum RM50,000.


Ketika ini, individu dan syarikat yang melakukan kesalahan itu, hanya dikenakan kompaun maksimum RM1,000.


Semua perbuatan menyalahi Ordinan Darurat kini boleh ditangkap, manakala individu dijangkiti atau disyaki terkena jangkitan atau menjadi kontak pula boleh dipakaikan dengan peranti pengesanan.


Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 itu, diwartakan susulan Proklamasi Darurat dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong, mengikut Perkara 150, Perlembagaan Persekutuan, pada 11 Januari lalu.


Pemasyhuran ordinan itu dibuat Yang di-Pertuan Agong selepas berpuas hati, bahawa tindakan serta merta dikehendaki bagi meminda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).



Kadar kompaun terbabit dinaikkan, susulan penggantian Seksyen 25 yang memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Kesihatan atau mana-mana pegawai kesihatan yang diberi kuasa oleh Pendakwa Raya.


Selain itu, pindaan terhadap penalti am mengikut Seksyen 24 ordinan sama, bagi kesalahan yang tiada penalti diperuntukkan dengan nyata, kini boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara maksimum tujuh tahun, atau kedua-duanya sekali.


Sementara itu, ordinan sama menetapkan mana-mana individu yang dijangkiti atau dipercayai telah dijangkiti atau mana-mana kontak rapat, boleh diperintah memakai peranti pengesanan.


Peranti pengesanan itu termasuklah suatu gelang tangan atau apa-apa peranti yang diberikan pegawai yang diberi kuasa dan sebarang perbuatan memusnah, merosak, menghilang atau mengubahnya, menjadi satu kesalahan.

Comments


bottom of page