Tabika KEMAS Kg Tuguson anjur majlis perpisahan, Krismas dan hari jadi kanak-kanak
17 Disember 2024
KOTA BELUD: Penganjuran Majlis Perpisahan dan Penyampaian Hadiah, Sambutan Krismas serta Hari Jadi Kanak-Kanak Tabika Tahun 2024 oleh
Tabika KEMAS Kampung Tuguson Kota Belud pada 19 Disember ini mendapat sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, yang telah menyalurkan sumbangan ikhlas bagi menjayakan majlis itu.
Sumbangan itu disampaikan oleh Pemaju Masyarakat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Clarence Somuil, yang mewakili Ewon.kepada Stephinie Nurdin, wakil pihak Tabika KEMAS Kampung Tuguson.
Menurut Stephinie, majlis ini adalah platform penting untuk meraikan murid-murid yang telah menunjukkan potensi dan kecemerlangan sepanjang tahun ini.
Selain itu, ia turut menjadi kesempatan untuk menyambut perayaan Krismas serta hari jadi kanak-kanak bersama ibu bapa dan penjaga.
"Program ini bukan sahaja meraikan pencapaian murid-murid, tetapi juga berperanan dalam memupuk keyakinan diri, meningkatkan kualiti pembelajaran, membina sahsiah murid serta menerapkan nilai-nilai murni," jelas Stephinie.
Beliau menambah bahawa kerjasama erat antara pihak Tabika KEMAS dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) memainkan peranan penting dalam memastikan program ini berjalan lancar dan memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat.
Pihak Tabika KEMAS turut menyampaikan penghargaan kepada Ewon atas sumbangan beliau.
"Sokongan ini mencerminkan komitmen pemimpin setempat dalam menyokong pembangunan pendidikan awal kanak-kanak di kawasan tersebut.
"Kami amat berterima kasih kepada Ewon yang sentiasa menyokong usaha Tabika KEMAS untuk melaksanakan program-program seumpama ini. Sokongan beliau membuktikan keprihatinan terhadap kesejahteraan pendidikan kanak-kanak di Kadamaian," ujar Stephinie mewakili pihak Tabika dan PIBG.
Majlis ini dijangka turut dihadiri oleh ibu bapa, penjaga serta komuniti setempat sebagai tanda sokongan terhadap usaha murni tersebut yang bukan sahaja memberi semangat kepada murid-murid, malah memperkukuhkan hubungan antara pihak Tabika dan masyarakat.
Stephinie berharap penganjur majlis ini dapat mencipta kenangan indah buat kanak-kanak yang akan melangkah ke fasa pendidikan seterusnya pada tahun 2025.
تعليقات