Tadika Tunas Dinamik raikan pencapaian murid dan guru
nabalunews
23 Januari 2025
KOTA BELUD: Seramai 25 murid Tadika Tunas Dinamik, Kampung Melangkap Tiong, di sini, diraikan pada Majlis Penyampaian Sijil Tamat Pendidikan, semalam.
Semua murid berusia enam tahun yang tamat pendidikan awal itu bakal melangkah ke alam sekolah rendah di sekitar daerah ini.
Pemaju Mukim, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Anichlose Kesimin berkata, penekanan kepada pentingnya pendidikan awal adalah asas kepada pembangunan masa depan anak-anak.
Katanya, Tadika Tunas Dinamik jelas terbukti mampu memainkan peranan penting dalam menyediakan asas pendidikan yang kukuh.
“Saya percaya usaha seperti ini akan memberi manfaat besar khususnya kepada pembangunan dan generasi muda di kampung ini.
“Majlis ini bukan saja memberi penghargaan kepada pencapaian murid-murid tetapi juga menjadi platform bagi ibu bapa dan guru-guru meraikan usaha mereka dalam membimbing anak masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika hadir merasmikan majlis berkenaan, semalam.
Anichlose berkata, penganjuran majlis berkenaan juga mencerminkan komitmen Tadika Tunas Dinamik dalam melahirkan generasi yang berpendidikan dan berpotensi tinggi.
Katanya, menerusi sokongan penuh daripada komuniti sekitar, Tadika Tunas Dinamik juga akan terus menjadi pemangkin kepada kecemerlangan pendidikan awal terutamanya di Kampung Melangkap Tiong dan kawasan sekitar.
“Kejayaan anak-anak terhasil daripada kerjasama antara guru dan ibu bapa dalam mendidik dan membentuk kecemerlangan mereka sejak peringkat awal usia lagi,” katanya.
Comentários