Tagal Kampung Kijang, Merotai terbaik di Tawau, terima lebih 13, 000 pengunjung
- nabalunews
- 6 hours ago
- 2 min read

26 April 2025
TAWAU: Aktiviti Tagal di Kampung Kijang, Merotai menjadi kawasan tagal terbaik di Tawau apabila mencatatkan lebih 13, 000 pengunjung, termasuk dari daerah luar seperti Kota Kinabalu sepanjang tempoh empat bulan pertama, tahun ini.
Pegawai Wilayah Perikanan Tawau, Mohd Rizal Socradji berkata, rekod terbabit sekaligus dapat membantu menjana pendapatan ekonomi penduduk setempat dengan kehadiran pelancong luar daerah.
Menurutnya, empat lagi lokasi tagal di daerah ini terletak di Balung Kampung Ranggu, Kampung Sungai Imam dan Kuala Nansang.

Pihaknya juga, katanya, sudah mengenalpasti dua lagi lokasi lain yang berpotensi dibuka untuk aktiviti tagal iaitu di Bukit Quion dan Rancangan Blok 31.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Penyerahan Sumbangan Peralatan Jabatan Perikanan Negeri Sabah kepada Jawatankuasa Tagal Kampung Kijang, di sini, hari ini.
Penyerahan sumbangan disempurnakan Naib Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah merangkap Penasihat Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPN), Brigadier Jeneral (B) Tan Sri Liew Yun Fah.
Antara sumbangan yang diberikan adalah tali, jaket keselamatan, pelampung, lampu solar dan tong sampah untuk kegunaan operasi tagal di kampung itu.
Liew berkata, usaha yang diambil Jawatankuasa Tagal Kampung Kijang perlu dicontohi dalam usaha merancakkan ekonomi serta pembangunan di Merotai, selari dengan hasrat dan hala tuju kerajaan negeri iaitu Sabah First, mengutamakan keperluan rakyat.
Beliau turut menyampaikan sumbangan RM3, 000 kepada tabung jawatankuasa tagal tersebut bagi menyokong usaha merancakkan ekonomi setempat, selain merancang pemasangan lampu solar di sepanjang jalan masuk ke kawasan tersebut.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tagal Kampung Kijang Abdul Mustapha Massa berkata, sebahagian hasil pendapatan operasi akan disalurkan bagi kerja baik pulih serta naik taraf fasiliti, manakala, sebahagian lagi untuk kebajikan masyarakat seperti khairat kematian dan bantuan pendidikan.
Kommentarer