top of page

"Tak Kenal Maka Tak Cinta" – UPKO terbuka untuk semua kaum dan agama

  • nabalunews
  • Mar 29
  • 2 min read


29 Mac 2025


LAHAD DATU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) adalah parti berbilang kaum dan agama serta terbuka untuk semua lapisan rakyat.


Ketua Penerangan UPKO Lahad Datu, Saudi Osman berkata, sebagai sebuah parti peneraju perjuangan rakyat, UPKO sentiasa mendepani dan memperjuangkan hak rakyat Sabah.


Katanya, UPKO juga sentiasa mengalu-alukan komuniti Islam untuk menjadi ahli dan menyokong perjuangannya dalam membina sebuah negeri yang lebih maju dan harmoni.


“UPKO tidak lagi hanya mewakili satu kelompok rakyat, tetapi kini berdiri untuk semua rakyat Sabah tanpa mengira kaum dan agama.


“Saya percaya Sabah memerlukan sebuah parti yang mampu menyatukan semua rakyat di bawah satu perjuangan bersama, mempertahankan hak negeri, memperjuangkan pembangunan, serta menjaga keharmonian antara kaum dan agama,” katanya ketika ditemui, hari ini.


Saudi yang juga pemimpin kaum Bajau di Pantai Timur Sabah berkata, UPKO bukan sekadar parti politik biasa, tetapi sebuah gerakan progresif yang membawa pembaharuan kepada politik Sabah.


Katanya, UPKO memperjuangkan hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), menuntut autonomi dalam pentadbiran negeri, dan berusaha memastikan pembangunan ekonomi yang adil kepada semua rakyat.


“Sebagai parti yang progresif, UPKO terus mengorak langkah dengan menegakkan hak Sabah dalam Persekutuan Malaysia, memperjuangkan pembangunan ekonomi dan peluang pekerjaan untuk rakyat Sabah.


“Malah UPKO juga membuka ruang kepada semua kaum dan agama untuk bersama dalam perjuangan politik serta mengukuhkan perpaduan dan keharmonian masyarakat Sabah,” katanya.


Sehubungan itu, Saudi menegaskan rakan-rakan khususnya masyarakat Islam di Pantai Timur Sabah digalakkan untuk lebih mengenali UPKO serta memahami perjuangan parti ini dalam membangunkan Sabah.


"Tak Kenal Maka Tak Cinta", saya yakin dengan lebih ramai pemimpin daripada pelbagai latar belakang, termasuk komuniti Islam, UPKO akan menjadi parti yang lebih kuat dan benar-benar mencerminkan kehendak serta keperluan rakyat Sabah,” katanya.

Comentarios


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page