TAMAN AWAM TELUK LIKAS DIBUKA SEMULA MULAI ESOK
17 Julai 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Taman Awam Teluk Likas akan dibuka semula kepada orang ramai mulai esok (18 Julai).
Menurut kenyataan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), sebagai permulaan, had kapasiti kemasukan ke taman ini adalah 200 orang bagi setiap dua jam.
Bagaimanapun katanya, kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah tidak dibenarkan.
Pembukaan semula operasi taman itu susulan pembukaan semula Taman Ujana Rimba Tropika dan Taman Tun Fuad Stephens pada 13 Julai lalu.
Masa pembukaan Taman Awam Teluk Likas adalah bermula jam 6.00 pagi hingga 10.00 pagi, manakala sesi petang pula bermula jam 4.00 petang hingga 6.00 petang.
Tiada sebarang aktiviti mahupun individu dibenarkan berada di taman ini selain dari masa yang tersebut.
Bagi Taman Ujana Rimba Tropika dan Taman Tun Fuad Stephens pula waktu operasi ialah dari jam 6 pagi hingga 6 petang dan had kemasukan ialah 50 orang bagi setiap dua jam.
Taman/ rekreasi kendalian swasta seperti Perdana Park Tanjung Aru adalah tertakluk kepada pengurusan masing-masing mengikut SOP yang ditetapkan.
Comments