Taman Kinabalu Raikan Warisan Dunia dan Tradisi Komuniti
30 November 2024
RANAU : Program Hari Komuniti Taman Kinabalu dan Sambutan Ulang Tahun Taman Kinabalu sebagai Tapak Warisan Dunia, akan berlangsung pada 1 dan 2 Disember ini.
Program hari pertama dimulakan dengan aktiviti mendaki Gunung Kinabalu yang dikenali 'Moi Kakap Id Gayo Ngaran'.
Sebelum pelepasan untuk pendakian ke puncak Kinabalu, satu upacara tradisional, 'Monolob', akan diadakan.
Ritual ini dipimpin oleh Majlis Pemegang Adat Istiadat Gunung Kinabalu (COE) yang melambangkan penghormatan kepada semangat Gunung Kinabalu yang menjadi simbol kebesaran bagi masyarakat setempat.
Pelbagai acara menarik turut disediakan kepada pengunjung di pekarangan Dewan Kinabalu.
Antaranya gerai komuniti yang mempromosikan produk tempatan, sukan tradisional seperti Rampanau, 'Monopuk' , 'Kurutut' , dan 'Kupas Lugus', serta persembahan seni budaya.
Hari kedua akan dimulakan dengan pelancaran Sambutan Hari Komuniti dan Ulang Tahun Taman Kinabalu ke-24 oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah (LPATTS), Peter Lintar.
Pelbagai taklimat bermanfaat juga akan berlangsung, menampilkan tema budaya, pemeliharaan alam dan pelancongan.
Taklimat pertama berkaitan Adat Istiadat Gunung Kinabalu disampaikan oleh Pengerusi Majlis Penasihat Adat Istiadat Gunung Kinabalu, Johnny Ghani dan
taklimat kedua berkaitan Tapak Warisan Dunia, Taman Kinabalu oleh Ketua Penolong Pengarah Taman Kinabalu, Justinus Guntabid.
Taklimat ketiga pula bertajuk Komuniti Pemangkin Kelestarian Alam Semulajadi oleh Charmila Flora Miuse dan taklimat keempat yang bertajuk Pelancongan Berasaskan Komuniti disampaikan oleh Januarius Shaftang, kedua-duanya adalah Penolong Pengurus Taman Kinabalu.
Acara penutupan dijangka disempurnakan oleh Datuk Josie Lai, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS).
Pengunjung akan turut disajikan dengan persembahan budaya termasuk tarian tradisional 'Kappa Momurun' , nyanyian lagu tradisi, dan penceritaan rakyat dikenali 'Taala aala' yang bertujuan mengekalkan legasi warisan budaya tradisional di Sabah.
Comments