Tambang Penerbangan Musim Perayaan ke Sabah, Sarawak Terkawal

30 Mac 2025
KUALA LUMPUR: “Tambang penerbangan ke Sabah dan Sarawak pada musim perayaan tahun ini kekal rendah dan terkawal,” tegas Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Anthony berkata, ini adalah hasil inisiatif kerajaan dalam menetapkan harga siling serta komitmen syarikat penerbangan untuk meningkatkan kapasiti penerbangan semasa musim perayaan.
"Ini merupakan satu cabaran besar setiap kali musim perayaan tetapi saya bangga kerana tahun ini kita tidak dengar tidak dapat beli tiket penerbangan balik Sabah, Sarawak," katanya dalam hantaran di Facebook rasminya.
Menurutnya, penyediaan kapasiti tambahan bukan mudah dan memerlukan penyelarasan rapi dan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan.
"Saya hargai usaha syarikat penerbangan pengawal selia, pengendali lapangan terbang, dan lain-lain pihak dalam menyediakan kapasiti tambahan.
"Tidak dilupakan juga pekerja barisan hadapan seperti pengawal trafik udara, kru kabin, juruterbang, dan petugas darat .
"Mereka telah mengorbankan masa dan tenaga mereka untuk memastikan perjalanan rakyat Malaysia berjalan lancar,” katanya.
Menurutnya, kerjasama erat ini mencerminkan semangat sebenar masyarakat Malaysia yang bersatu dalam mencapai matlamat bersama walaupun berbeza latar belakang.
Anthony turut menambah bahawa beliau berpeluang bertemu dengan penumpang yang dalam perjalanan pulang ke Sabah dan Sarawak untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga tersayang.
Comentarios