Tamu Desa Bawa Banyak Kebaikan

1 Mac 2025
TUARAN: Kewujudan premis Tamu Desa membawa banyak manfaat bukan saja dari aspek menjana ekonomi tetapi juga merapatkan keakraban antara penduduk kampung.
Bagi usahawan beg anyaman rotan, Nogirit Apiang, 62, berkata, penyediaan pusat tamu desa ini memberi ruang baik kepada komuniti kampung.
Katanya, selain daripada memberi tempat berniaga, komuniti kampung juga lebih akrab kerana ia menjadi tempat pertemuan menarik.

“Bila tamu desa ini wujud, penduduk kampung mempunyai ruang untuk menjual produk atau perkhidmatan serta hasil tanaman.
“Malah kini, ia juga menjadi tempat untuk kami berjumpa dan berkongsi peluang serta informasi disamping membeli keperluan rumah,”katanya ketika ditemui, hari ini.
Menurutnya, disebabkan keakraban yang terjalin, harga barangan menjadi berpatutan kerana kami boleh tawar menawar untuk membantu meningkatkan ekonomi antara satu sama yang lain.

Sementara itu, Florence Cyril berkata, pembinaan tamu desa ini memberi keselesaan kepada penjaja dan pengunjung.
“Terima kasih kepada pembinaan tamu desa ini kerana kami tidak lagi perlu risau hujan atau panas, kami boleh berniaga,” katanya.
Manakala bagi Julie Laus, tamu desa itu memberi manfaat kepada para usahawan kecil, penjaja dan peniaga kecil di tamu-tamu desa terutamanya di luar bandar.

“Sejak adanya tapak yang selesa, banyak program jualan, perayaan atau kemasyarakatan boleh dibuat di sini.
“Ia sering mendapat sambutan yang amat menggalakkan,” katanya.
Commentaires