Tamu Desa Kg. Sarang kini siap
12 November 2024
KOTA BELUD: Projek pembinaan Tamu Desa Kampung Sarang, di sini kini siap dan bakal memanfaatkan peniaga dan penjaja kecil untuk menjalankan aktiviti perniagaan mereka dengan lebih selesa.
Siang tadi, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick melawat Tamu Desa Kampung Sarang bagi meninjau kemajuan pembinaan kemudahan untuk rakyat ini.
Lawatan Ewon ke Kampung Sarang adalah sebahagian daripada program lawatan kerja beliau untuk meninjau sendiri kemajuan projek pembinaan Tamu Desa di daerah Kota Belud.
Projek ini merupakan antara inisiatif kementerian yang beliau terajui.
Ewon menyatakan harapan agar projek Tamu Desa ini dapat meningkatkan peluang ekonomi masyarakat setempat dan menyediakan kemudahan yang lebih baik kepada komuniti peniaga di kawasan tersebut.
Sempena lawatan ini, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Cawangan Kampung Sarang, Pintasan melahirkan rasa syukur dan bangga atas kunjungan Ewon yang juga Presiden UPKO.
Ketua Cawangan UPKO Kampung Sarang, Mohd. Shah Maulah, yang juga Penyelaras UPKO untuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan, menerima sumbangan RM10,000 daripada Ewon.
Dana tersebut akan digunakan untuk pembelian kanopi, kerusi, dan pelbagai keperluan lain demi menyokong aktiviti cawangan UPKO di kampung tersebut.
Mohd. Shah, yang juga Pengerusi Tamu Desa Kampung Sarang, menjelaskan bahawa sumbangan ini adalah sebahagian daripada usaha mereka untuk memenuhi keperluan ahli-ahli UPKO serta komuniti Kampung Sarang secara keseluruhannya.
“Kami amat berterima kasih atas keprihatinan dan sokongan Datuk Ewon terhadap kebajikan ahli-ahli kami dan masyarakat Kampung Sarang,” ujarnya mewakili ahli-ahli UPKO di kampung itu.
Comments