Wartawan Nabalu News
Tamu di Sabah sesuai jadikan lokasi pendaftaran, hebahan maklumat PADU kepada warga emas, penduduk pedalaman – Jannie
13 Januari 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
PENAMPANG: Ahli Dewan Undangan Negeri Kepayan Jannie Lasimbang mencadangkan agar Tamu-tamu di Sabah dijadikan lokasi untuk pendaftaran dan menyebar maklumat tentang Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) terutama dalam kalangan warga emas serta penduduk di kawasan pedalaman di negeri ini.
Beliau berkata Tamu adalah lokasi yang sesuai untuk menyebar luas maklumat mengenai PADU, ini kerana Tamu, pasar tradisi masyarakat setempat berjual beli barangan mereka di negeri ini, adalah lokasi tumpuan penduduk sejak dahulu antaranya bagi mendapatkan barangan keperluan harian.
“Warga emas selalu pergi ke Tamu bukan sahaja untuk beli barang keperluan, tetapi juga untuk minum-minum serta bertemu rakan mereka. Tamu ini menjadi sebahagian daripada hidup kita di Sabah ini, jadi bila ada daftar PADU di Tamu mudah untuk kita bantu warga emas ini mendaftar.
“Mungkin juga mereka tidak tahu mengisi pendaftaran, Internet pun di pedalaman tidak berapa bagus jadi di Tamu ini mudahkan mereka daftar terus dan dapatkan bantuan untuk mendaftar,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Dalam pada itu, beliau bersama Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan Sabah Supian Musa serta petugas Jabatan Perangkaan dan Jabatan Penerangan telah melakukan hebahan serta pendaftaran PADU di Tamu Donggongon di sini yang menarik perhatian ramai penduduk setempat.
Comments