top of page
Wartawan Nabalu News

Tamu Malam Kadamaian akan diperkenalkan pada 21 Sept: Ewon

26 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick menyatakan Tamu Malam akan diperkenalkan di dataran tamu mingguan Kadamaian Square pada 21 September ini.


Menurut beliau, tamu malam tersebut julung kali diadakan untuk melihat sambutan di kalangan peniaga dan pengunjung tamu sebelum dilaksanakan secara kekal.


"Pada 22 September ini, kita akan mengadakan sambutan Tamu Besar Kadamaian sempena sambutan Mini Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Kebangsaan (HPPK) di Kadamaian Square dan ruang tamu mingguan Taginambur. Justeru pada malam 21 September tersebut, kita akan memperkenalkan Tamu Malam Kadamaian.

"Saya berharap inisiatif ini memberi ruang tambahan kepada peniaga-peniaga tamu khususnya daripada kawasan Kadamaian untuk memasarkan produk-produk mereka.


“Persiapan yang bersesuaian akan dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan kerjasama Pejabat Daerah Kota Belud, Majlis Daerah Kota Belud dan Pusat Khidmat ADUN N11 Kadamaian," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Kursus Membuat Mee Laksa dan Mee Kuning di Tamu Lompios, Kadamaian di sini, hari ini.

Kursus itu disertai yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg Lompios dengan kerjasama Home Chef Kongsi Resepi (HCKR) disertai hampir 100 orang dari kalangan kaum ibu di Kadamaian.


Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian mengulangi komitmen beliau untuk terus membangunkan dan menaiktaraf kemudahan-kemudahan tamu khususnya dalam kawasan Kadamaian.


"Saya gembira kerana bangunan Tamu Lompios dan kemudahan di sekitar Taman Tamu kampung ini yang dibina melalui peruntukan yang saya salurkan sebelum ini terus dimanfaatkan oleh para peniaga tamu di mukim Lasau sehingga hari ini.

“Sebelum ini, saya telah mencadangkan supaya pengurusan tamu ini dikendalikan oleh koperasi penduduk dan peniaga tamu supaya kita dapat mengurus kawasan ini dengan lebih baik,” katanya.


Katanya lagi, komitmen untuk membangunkan dan menaiktaraf tamu-tamu di Kadamaian khasnya, di seluruh Sabah, dan negara akan diteruskan.

“Ini termasuk mencadangkan keperluan peruntukan khas di KUSKOP untuk membantu menaiktaraf kemudahan ruang niaga di tamu-tamu desa.


"Keperluan tersebut merupakan salah satu cadangan yang telah dikemukakan oleh KUSKOP kepada Kementerian Kewangan sebagai input penyediaan Belanjawan MADANI 2024," katanya.

Comments


bottom of page