Tanah runtuh di Nabawan: PM lulus peruntukan kecemasan untuk pembaikan jalan dan jambatan
17 Sept 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meluluskan peruntukan kecemasan untuk membaiki jalan dan jambatan yang rosak akibat tanah runtuh di Jalan Panabaan-Pensiangan di Nabawan, Sabah.
Kejadian itu berlaku pada 5 September lalu dan menjejaskan lebih 300 penduduk di empat perkampungan.
Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, beliau telah menerima aduan daripada penduduk Kampung Salinatan yang terlibat. Beliau juga telah meninjau keadaan di lokasi bencana.
"Hasil tinjauan mendapati, hujan lebat mengakibatkan tanah runtuh di beberapa lokasi sehingga jalan utama tidak boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, Pejabat Daerah Nabawan dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Nabawan telah menjalankan kerja penyelenggaraan sementara agar penduduk kampung dapat menggunakan jalan utama tersebut. Beliau juga telah mencadangkan agar kawasan terbabit diisytiharkan sebagai kawasan bencana.
"Hasil pertemuan dengan Perdana Menteri pada 14 September lalu, beliau bersetuju untuk meluluskan peruntukan kecemasan bagi pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan jalan dan membina baharu jambatan," katanya.
Beliau juga menyatakan simpati dan terima kasih kepada semua pihak yang telah menghulurkan bantuan kecemasan kepada penduduk terjejas. Beliau juga mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin menghulurkan bantuan supaya dapat berhubung dengan Pegawai Daerah Nabawan.
Comments