Tanah runtuh menghalang laluan utama ke Kampung Gas dan Kilang IOI

22 Mac 2025
SANDAKAN: Laluan utama menghubungkan Kampung Gas dan Kilang IOI, di sini, terputus selepas berlaku runtuhan tanah, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, runtuhan berkenaan menyebabkan satu bongkah batu besar jatuh di atas jalan dan terus menghalang laluan kenderaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Severinus Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 2.49 pagi.

Katanya, sepasukan tujuh anggota dan pegawai terus dikerah ke lokasi untuk melakukan pemantauan.
“Pasukan bomba mengambil tindakan membuat pemantauan bagi memastikan tiada bahaya dilokasi.
“Kes kemudiannya diserahkan kepada Kontraktor Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Severinus berkata, pasukan operasi terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 3.53 pagi.
Comments