Tanah runtuh: Wanita terkandas selamat lahirkan anak lelaki

27 Februari 2025
KOTA KINABALU: Seorang wanita yang hendak bersalin dan terpaksa diusung untuk menaiki ambulans selepas terkandas akibat tanah runtuh di Jalan Tambunan-Ranau, selamat melahirkan bayi lelaki.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Dr Maria Suleiman berkata, wanita terbabit berjaya dibawa ke Hospital Keningau bagi menjalani proses pembedahan kecemasan.
Katanya, sebaik tiba di Hospital Keningau, wanita terbabit segera dimasukkan ke dewan bedah untuk menjalani pembedahan kecemasan.

“Pembedahan terpaksa dijalankan selepas mengalami tanda-tanda bayi lemas dalam kandungan.
"Ibu dan bayi berada dalam keadaan stabil selepas pembedahan berjaya dilaksanakan," katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Terdahulu, wanita terbabit sarat mengandung berdepan kesukaran untuk ke hospital selepas Jalan Tambunan-Ranau tertutup akibat tanah runtuh di Kampung Pahu, Tambunan.

Berikutan itu, kakitangan dari Klinik Desa Tontolob, Tambunan, terpaksa dibantu pasukan perubatan dari Hospital Tambunan, polis, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan penduduk kampung untuk keluar dari kawasan tanah runtuh sebelum menaiki ambulans.
Dr Maria berkata, pihaknya menghargai bantuan semua pihak yang terbabit dalam misi membantu pesakit terbabit hingga dapat melahirkan bayi dengan selamat.
"JKNS ingin merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat dalam operasi ini, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), JKR serta pasukan perubatan dari Haspital Tambunan, Hospital Keningau dan Kinik Desa Tontolob.
"Selain itu, penghargaan turut diberikan kepada orang awam dan penduduk setempat yang membantu dalam proses pemindahan.
"Kejayaan misi ini menunjukkan kepentingan kerjasama dan kesiapsiagaan pasukan kecemasan dalam menghadapi situasi luar jangka.
"Ia juga mencerminkan kecekapan pasukan dalam mengadaptasi pelan tindak balas bencana untuk memastikan akses kepada perkhidmatan kesihatan tidak terjejas," katanya.
JKNS katanya terus komited untuk memastikan kesiapsiagaan dan keupayaan pasukan kesihatan dalam menghadapi sebarang kemungkinan pada masa hadapan.
Kommentare