top of page
  • nabalunews

Tangani Perbezaan Pendapat Dengan Adab Terbaik - Ahmad Zahid

16 September 2024


PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, menekankan bahawa sambutan Maulidur Rasul tahun ini memberi peringatan kepada umat Islam tentang kepentingan menangani perbezaan pendapat dalam kalangan masyarakat dan organisasi dengan penuh adab dan kesantunan.


Beliau menegaskan bahawa masyarakat, terutamanya para pemimpin, harus mencontohi akhlak terpuji Rasulullah SAW yang menjadi panduan utama dalam kehidupan.


Dalam konteks ini, beliau mengingatkan bahawa lebih-lebih lagi, apabila dunia sedang memandang Malaysia sebagai model masyarakat Islam yang progresif, perlunya sikap dan tindakan yang mencerminkan nilai-nilai Islam sebenar.


“Maka apa yang terbaik ialah cara kita menyampaikan risalah, cara pendakwah atau daie menyampaikan pesan, mesti berlandaskan kepada akhlak yang baik.


“Jika ada perbezaan pendapat pun dalam kalangan kita, kedudukan kita dalam komuniti atau organisasi mesti ada adab yang terbaik, dan adab menangani perbezaan ini ada yang berlandaskan tasawuf,” katanya seperti dilaporkan Bernama ketika berucap pada Majlis Malam Cinta Rasul, di sini semalam.


Ahmad Zahid menyeru rakyat pada ketika meraikan Maulidur Rasul untuk meningkatkan ukhwah dan melupakan perbezaan yang furuk sesama ummah.


Beliau dalam masa yang sama mengajak orang ramai untuk memberikan bantuan yang termampu kepada rakyat Palestin.


Malam Cinta Rasul dianjurkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersempena Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/2024M dihadiri kira-kira 50,000 orang, dimulakan dengan solat maghrib dan isyak berjemaah.


Program itu turut diisi dengan sesi tausiyah atau ceramah mengenai sirah kehidupan Nabi Muhammad SAW yang disampaikan Mufti Selangor Datuk Anhar Opir, Mufti Pulau Pinang Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman, Timbalan Mufti Sabah Datuk Abdul Manap Lakariba, serta ulama terkemuka Habib Ali Zainal Abidin.


Kemuncak sambutan kelahiran Nabi Muhammad SAW pada tahun ini ialah Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1446 Hijrah, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Comments


bottom of page