Tangguh PRN Johor atau benarkan kempen terbuka - PH
10 Februari 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) meminta kerajaan pertimbangkan untuk menangguh pilihan raya negeri (PRN) Johor susulan kes jangkitan Covid-19 melebihi 17,000.
“Demi memastikan keadaan ini tidak diperalatkan untuk tujuan politik maka Kerajaan harus pertimbang untuk menangguhkan PRN Johor.
“Sekiranya Kerajaan enggan menangguhkan dan ingin memberi kelonggaran seperti negara Barat maka kempen terbuka termasuk ceramah harus dibenarkan.
“Yang pasti Perintah Kawalan Pergerakan penuh (total lockdown) tidak boleh dikenakan kerana terbukti gagal sebelum ini,” kata PH dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan bersama itu ditandatangani Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Wilfred Madius Tangau.
Sementara itu, Majlis Presiden juga menegaskan agar Kerajaan tidak menyalahgunakan penguatkuasaan saman ke atas individu dan perniagaan, tetapi sebaliknya memberi fokus kepada pendidikan dan kesedaran untuk menangani cabaran gelombang Omicron.
Majlis Presiden PH turut memutuskan untuk mengadakan siri jelajah penamaan calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi selepas calon parti dimuktamadkan dalam masa terdekat.
“Ini demi menyatakan kesediaan Pakatan Harapan menawarkan saf kepimpinan yang mampu membentuk Kerajaan Negeri Johor yang lebih stabil dan bersedia membangunkan Johor pasca pandemic,” katanya.
Dalam pada itu, Majlis Presiden turut mengambil maklum siri libat urus berhubung Rang Undang-Undang Anti- Lompat Parti bersama Ahli-Ahli Parlimen yang telah diadakan di Parlimen semalam.
“RUU Anti-Lompat Parti ini bertepatan dengan hasrat Pakatan Harapan dan Kerajaan seperti yang termaktub di dalam Perkara 2.1, Memorandum Persefahaman (MOU) di antara Kerajaan dan Pakatan Harapan.
“Perkara 2.4 menyatakan bahawa RUU ini perlu dibentang dan diluluskan di Parlimen dalam tempoh tidak lewat dari Mesyuarat Pertama Parlimen, iaitu sebelum atau pada 24 Mac 2022.
“Oleh itu, Majlis Presiden berpandangan bahawa RUU Anti Lompat Parti perlu dilaksanakan seperti yang dipersefahami di dalam MOU tersebut.”
Comments