Tangkap ikan di zon larangan, bot tunda, 8 kru ditahan
11 Disember 2024
KOTA KINABALU: Akibat menangkap ikan di zon larangan, sebuah bot pukat tunda bersama 8 kru ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah dan Labuan di perairan Barat Pulau Sapi di sini, pada Isnin.
Pengarah APMM Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata bot dikendalikan seorang juragan dan tujuh kru itu ditahan kira-kira jam 3.30 petang di perairan 0.7 nautika Barat Pulau Sapi kerana disyaki melanggar syarat sah lesen menunda bawah tiga batu nautika.
Katanya, aktiviti bot pukat tunda itu dikesan bot peronda Maritim Malaysia yang sedang melakukan rutin operasi rondaan hasil pemantauan yang dilakukan secara berterusan.
“Hasil pemeriksaan mendapati, bot yang dinaiki juragan dan tujuh kru itu melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen kerana menunda bawah tiga batu nautika.
“Pemeriksaan lanjut turut mendapati, dua daripada kru bot melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan permit kerja yang sah,” katanya dalam kenyataan media, pada Selasa.
Selain itu, beliau berkata bot pukat tunda itu melakukan kesalahan di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 selepas gagal melaporkan pertukaran nakhoda.
“Bot dan kru yang ditahan bersama ikan campur anggaran 30 kilogram diring ke Jeti APMM, Sepanggar untuk siasatan lanjut.
“Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM120,000,” katanya.
Jelas beliau lagi, APMM akan memantau kawasan tumpuan di mana aktiviti ini sering dilakukan oleh bot-bot nelayan yang ingkar dan mengabaikan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.
Berikutan itu, beliau menyeru kepada orang awam terutamanya komuniti maritim untuk terus menyalurkan sebarang maklumat sekiranya terdapat sebarang aktiviti yang mencurigakan melalui saluran yang betul dengan memaklumkan pihak APMM dengan segera.
コメント