Tanjung Lipat dipukul ombak, jalan raya banjir
22 Disember 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Pengguna jalan raya di sini pada petang tadi dikejutkan dengan fenomena banjir di Tanjung Lipat, Jalan Tun Fuad Stephen, Kota Kinabalu.
Menerusi rakaman video dan gambar yang tular di media sosial, ombak besar dilihat membadai pesisir pantai kawasan Tanjung Lipat sehingga menyebabkan limpahan air ke kawasan darat.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba Sabah, pihak bomba menerima panggilan kecemasan bencana banjir di alamat Tanjung Lipat, Jalan Tun Fuad Stephen, Kota Kinabalu pada jam 4.15 petang.
"Setibanya pasukan bomba di lokasi, benar berlaku banjir di laluan utama Jalan Tun Fuad Stephen, Kota Kinbalalu.
"Difahamkan fenomena tersebut berlaku akibat pertembungan air pasang ditambah dengan taburan hujan luar biasa menjadi faktor berlakunya banjir di kawasan tersebut," katanya.
Mengulas lanjut, pihak bomba berkata jalan raya berdekatan hanya boleh dilalui oleh kenderaan besar sahaja.
"Terdapat sebuah kenderaan Vigo termasuk ke dalam parit dan didapati mangsa sudah keluar dengan sendirinya dibantu oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
"Namun mangsa dilaporkan dalam keadaan selamat. Pemeriksaan di kawasan kenderan dijalankan untuk memastikan tiada lagi kemerbahayan lain," katanya.
Dalam pada itu, keadaan hujan mulai reda namun aras masih naik setengah kaki dari paras jalan raya. Operasi ditamatkan pada jam 5.28 petang.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan peringkat waspada di Sabah bermula 23 hingga 26 Disember ini.
Comments