Tapak Dewan Serbaguna baharu di Merotai sudah dikenalpasti
- nabalunews
- 8 hours ago
- 1 min read

7 April 2025
TAWAU: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sudah mengenalpasti tapak cadangan pembinaan Dewan Serbaguna baharu di kawasan Merotai yang membabitkan tiga infrastruktur iaitu dewan, parkir kenderaan dan padang.
Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) Brig Jen (B) Tan Sri Liew Yun Fah berkata, beberapa lokasi yang dilihat sesuai bagi tujuan pembangunan itu sudahpun dikenalpasti untuk dinilai.
Menurutnya, perkara itu susulan pengumuman Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor untuk pembinaan dewan baharu berkenaan dengan peruntukkan sebanyak RM2 juta pada 16 Februari lalu.
Katanya, tapak yang terletak di kawasan padang dengan keluasan lebih 1.2 hektar dilihat sangat sesuai selepas mengambil kira kedudukannya yang tinggi dan bebas banjir.
“Dalam masa sama, pemilihan cadangan tapak berkenaan juga merupakan pelan perancangan jangka masa panjang pembangunan Pekan Merotai Baharu.
"Tapak cadangan ini terletak di kawasan pelan Pekan Merotai Baharu iaitu berhampiran dengan Kijang Point,"katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Liew berkata, Kerajaan Negeri mahu dewan baharu itu kelak, menjadi nadi kepada aktiviti masyarakat di Merotai termasuk sektor ekonomi, sosial dan kebudayaan, apabila siap nanti.
"Saya percaya jika diuruskan dengan baik, dewan itu mampu menjadi lokasi pusat tumpuan awam termasuk satu lagi lokasi pertubuhan ekonomi untuk anak Merotai," katanya.
Selain dewan baharu, Hajiji turut mengumumkan peruntukkan RM1.9 juta bagi pemasangan lampu solar dari kawasan persimpangan Jambatan Putih sehingga ke Kg Sungai Udin bagi menerangi jalan utama Merotai-Kalabakan serta pewartaan Kg Melati Burut dan Kg Iban sebagai perkampungan sah terbaharu di Merotai.
Liew berkata, semua berita gembira tersebut membuktikan keprihatinan kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mahu memastikan Merotai tidak ketinggalan dalam arus pembangunan Sabah Maju Jaya, walaupum terletak di kawasan pembangkang.
Comments