TBMF 2024 platform mempromosikan keunikan senibudaya, dan tradisi masyarakat Keningau
2 December 2024
KENINGAU: Taman Bandukan Music Festival (TBMF) 2024 adalah satu lagi platform penting bagi mempromosikan keunikan seni, budaya dan tradisi masyarakat di daerah ini.
Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Robert Tawik @ Nordin berkata festival ini menjadi peluang terbaik untuk mempromosikan budaya masyarakat setempat yang kaya dan pelbagai, sekaligus memperkenalkan produk-produk tempatan seperti hasil kraftangan dan makanan tradisional.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan upacara pembukaan The Night of Cultural Taman Bandukan Music Festival 2024 di Keningau.
Katanya festival muzik ini bukan sahaja membantu memartabatkan warisan budaya masyarakat di Sabah tetapi juga menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan melalui sokongan terhadap usahawan kecil dan sederhana serta penggiat seni.
Lebih penting lagi katanya, acara ini menjadi platform untuk memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum menerusi persembahan budaya dan seni dari pelbagai etnik di daerah ini yang mencerminkan keharmonian yang telah sekian lama dinikmati.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pelancongan Dan Kebudayaan Keningau merangkap Pengerusi Penganjur TBMF 2024, Rafie Robert berkata festival muzik ini antara perancangan bagi mempromosikan produk pelancongan di daerah Keningau.
Satu lagi program bakal diadakan iaitu tamu besar Pekan Apin-Apin yang juga mempunyai keunikan tersendiri dan mampu menarik pelancong luar dan dalam negeri.
TBMF 2024 ini berlangsung selama tiga hari dengan pelbagai aktiviti menarik antaranya karnival untuk kanak-kanak, Galeri Kraftangan, pameran , Jualan, rumah budaya dan banyak lagi.
Opmerkingen