top of page
nabalunews

Teknologi, AI Bukan Sekadar Akses - PM Anwar

16 November 2024


PERU: Kerajaan menyedari bahawa usaha merapatkan jurang digital merupakan langkah penting untuk memastikan pembangunan yang inklusif dan adil di setiap lapisan masyarakat, terutamanya dalam era dunia yang semakin dipacu oleh kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa walaupun Malaysia mempunyai keupayaan untuk menarik pelaburan besar dalam sektor ini, kerajaan juga berdepan cabaran utama untuk memastikan ekonomi digital yang sedang berkembang pesat ini kekal berdaya saing, saksama, dan mampan demi manfaat seluruh rakyat.


"Jika anda ingin memastikan ekonomi sedang pesat membangun ini berjaya, kekal berdaya saing dan mampan, maka ia perlu dilakukan melalui lonjakan yang berganda...dan AI adalah penyelesaiannya dalam aspek transformasi digital ini.


"Bagaimanapun, terdapat juga kebimbangan yang perlu ditangani. Pertama, jurang digital. Kita tidak boleh bersuara mengenai ekonomi moden tanpa kepercayaan, kemanusiaan, keadilan dan pendemokrasian akses," kata beliau pada Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dalam sesi bertajuk ‘Peluang dan Cabaran dalam Revolusi AI’ di sini pada Khamis.


Menurut laporan Bernama, ahli panel lain ialah Naib Presiden Data dan AI Microsoft Zia Mansoor, CEO Vobile Yangbin Wang dan Naib Presiden Hal Ehwal Kerajaan dan Dasar Awam Google Karan Bhatia.


Turut hadir dalam sesi berkenaan ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.


Ahli Majlis Perniagaan APEC (ABAC) Kanada Jan De Silva ialah moderator bagi program itu yang diadakan di Grand National Theatre of Peru.


Sehubungan itu, Perdana Menteri menegaskan, walaupun Malaysia telah meraih pencapaian ketara dalam membangunkan infrastruktur digitalnya, pelaburan tambahan masih diperlukan dalam memastikan seluruh rakyat mempunyai akses kepada alat dan sumber yang akan membolehkan mereka berkembang dalam era digital.


Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, langkah ini memerlukan usaha bersama untuk menyampaikan kesalinghubungan ke kawasan terpencil, membangunkan literasi digital dan mencipta peluang untuk seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira lokasi geografi mereka.


"Semua peluang yang disediakan untuk kawasan bandar mesti ditawarkan kepada komuniti luar bandar dan kawasan pedalaman. Ini memerlukan pelaburan infrastruktur tambahan dan saya berpendapat kita tidak boleh mengelak," kata beliau.


Anwar menegaskan bahawa, selain infrastruktur yang lebih berperanan sebagai perkakasan dalam ekosistem, aspek perisian perlu diberikan tumpuan yang serupa.


"Kami ada umat Islam sebagai majoriti penduduk. Kami mempunyai penganut Kristian, Buddha, Hindu dan banyak lagi. Oleh itu, kami mesti memastikan teknologi digital adalah selaras dengan nilai-nilai kemanusiaan, keadilan, dan etika negara ini," kata Perdana Menteri.


Sehubungan itu, beliau menekankan bahawa isu perlindungan data serta input yang disediakan dalam AI adalah sangat penting, antaranya bagi melindungi daripada kecenderungan dalam algoritma AI, memastikan ketelusan dan melindungi privasi rakyat.


Perdana Menteri berkata, bagi memastikan teknologi AI dibangunkan dan digunakan secara bertanggungjawab, Malaysia berusaha untuk membangunkan pendekatan seimbang yang menggalakkan inovasi di samping melindungi martabat manusia dan prinsip etika.


Menurut Anwar, walaupun Barat terutama Amerika Syarikat (AS) dan Eropah berada di barisan hadapan dalam pembangunan AI, Malaysia komited untuk memastikan negara ini dapat kekal berdaya saing tanpa terlalu bergantung kepada mana-mana rantau tertentu.


Perdana Menteri berkata ini bermakna Malaysia mengamalkan pendirian neutral dalam memilih teknologi dan penyelesaian terbaik sama ada dari AS, China, Eropah atau negara lain di dunia.


Pendekatan Malaysia akan tertumpu kepada aspek paling bermanfaat untuk rakyat dan ekonomi selain mengekalkan kedaulatan terhadap masa depan digitalnya, kata beliau sambil memaklumkan tunjang kepada strategi Malaysia adalah konsep “pemusatan,” yang menekankan peranan negara sebagai penggiat utama dalam landskap digital global.


Anwar berkata Malaysia berhasrat untuk berada dalam kemuncak inovasi, menerapkan amalan terbaik dan teknologi dari seluruh dunia di samping mengekalkan kawalan terhadap masa depan digital dan teknologi negara.


Terdahulu, De Silva berkata perjalanan transformasi digital Malaysia benar-benar mengagumkan, menarik perhatian dan pelaburan global daripada syarikat gergasi teknologi terkemuka dengan akses pendigitalan melebihi 97 peratus daripada penduduk.


"Ekonomi digital anda dalam kedudukan baik bagi pertumbuhan yang unggul," katanya ketika memperkenalkan Perdana Menteri selaku ahli panel pada majlis itu.


De Silva merujuk kepada pelaburan hampir US$17 bilion (US$1 = RM4.484) yang diraih daripada syarikat gergasi teknologi global antaranya Amazon, perkhidmatan web, Google, Microsoft dan Oracle memandangkan Malaysia terus mencapai kemajuan penting dalam ekonomi digital yang berkembang pesat.

Comments


bottom of page