top of page
nabalunews

Teks penuh ucapan perbahasan Belanjawan Sabah 2025 oleh YB Datuk Ewon Benedick



Ucapan Perbahasan

YB Datuk Ewon Benedick, ADUN N11 Kadamaian

Ke Atas Belanjawan Negeri Sabah 2025

18 November 2024 (Isnin)

Dewangan Undangan Negeri Sabah

 

 

Tuan Speaker,

1. Memulakan perbahasan, saya ingin mengucapkan syabas kepada Kerajaan Sabah di atas pembentangan ‘surplus budget’ Belanjawan Negeri Sabah 2025 yang dibentangkan oleh YB Menteri Kewangan pada 15 November yang lepas.

 

2. Keupayaan membentangkan belanjawan lebihan dengan peningkatan jumlah besar daripada RM5.701 billion pada tahun 2024 kepada RM6.421 billion untuk tahun 2025 menunjukkan keupayaan cemerlang Kerajaan Sabah pimpinan YB Sulaman selaku Ketua Menteri. Tahniah!

 

Tuan Speaker,

3. Pewartaan Hari Sabah dan seterusnya penganjuran sambutan Hari Sabah pada 31 Ogos bermula tahun ini merupakan antara satu kejayaan Kerajaan Sabah yang perlu direkodkan di Dewan ini. Sambutan Hari Sabah pasti akan memupuk semangat nasionalisme bagi menjayakan aspirasi Sabah First dalam kerangka Persekutuan Malaysia sepertimana dimeterai dalam

Perjanjian Malaysia 1963.

 

4. Ketua Menteri telah menyatakan kita harus bersatu bagi perkara-perkara yang kita bersetuju dan harus terus bermusyawarah bagi perkara-perkara yang masih selisih. Peringatan ini merupakan kebijakan yang harus dirukuni oleh semua Anggota Dewan ini dalam mengurus tadbir dan membangunkan Sabah.

 

5. Kita boleh berbeza parti dan pendekatan terhadap sesuatu aspirasi, isu dan hak Sabah tetapi matlamat kita tetap sama. Dalam Dewan ini, kita semua mempertahankan kedaulatan, hak, rakyat dan masa depan Sabah.

 

6. Selaku Ahli Dewan ini yang juga terlibat dalam platform Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63), saya ingin sahkan bahawa kepimpinan YB Sulaman selaku Ketua Menteri Sabah dalam mengangkat hak-hak Sabah dalam perundingan pelaksanaan Perjanjian Malaysia telah mencapai keputusan yang jauh lebih baik berbanding keputusan-keputusan yang pernah dibuat oleh Kerajaan Negeri sebelum ini.

 

7. Keputusan-keputusan inilah antara lainnya telah menyumbang peningkatan hasil kepada Kerajaan Sabah dan seterusnya membawa kita kepada Belanjawan tahunan yang lebih besar, antaranya pemberian interim di bawah Perkara 112D daripada RM306 juta daripada tahun ini kepada RM600 juta pada tahun hadapan.

 

Tuan Speaker,

8. Bagi rakan pimpinan Sabah yang menjadi Anggota Kabinet Kerajaan Persekutuan, kita boleh menjayakan Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara dari perspektif Kementerian masing-masing dengan memberi fokus tambahan kepada keperluan di Malaysia Timur.

 

9. Mengambil contoh fokus tambahan kepada Sabah yang dijayakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), tujuh agensi pembiaya di bawah KUSKOP sahaja telah menyalurkan sebanyak RM953.9 juta ringgit pembiayaan dan geran kepada 53,044 perusahaan mikro, kecil dan sederhana sederhana serta koperasi dan usahawan francais pada tahun 2023.

 

10. Saya mensasarkan jumlah pembiayaan ini dapat mencecah RM1 bilion pada tahun ini dan untuk ini, kita akan terus memperkasakan Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawanan Negeri Sabah yang saya pengerusikan bersama dengan YB Luyang selaku Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE) Sabah.

 

Tuan Speaker,

11. Dalam azam kita mahu bersaing di liga ekonomi, kita harus terus membangunkan potensi Sabah yang tidak dimiliki oleh wilayah atau negeri yang lain.

 

12. Kita harus terus membangunkan Sabah sebagai “the Eastern Gateway of Malaysia’. Lonjakan kehadiran pengunjung dan pelancong ke Sabah menerusi rangkaian penerbangan terus antarabangsa ke sini seharusnya menjadi potensi besar kepada aktiviti ekonomi Sabah.

 

13. Justeru, saya mencadangkan agar Kerajaan Sabah membuka ruang kepada pelaburan untuk pembangunan Taman Tema Keluarga dan Wellness Tourism.

 

14. Keindahan semula jadi Sabah yang memiliki Gunung Kinabalu, sungai dan hutan asli, pulau dan pantai perlu digubah untuk menarik “wellness tourist” daripada seluruh dunia. Ini jika dapat dipakejkan dengan produk-produk bertemakan keluarga sudah pasti akan menarik kehadiran pelancong yang lebih ramai.

 

15. Sudah tentu pelaburan untuk pembangunan sektor ini melibatkan dana yang besar. Justeru, saya mencadangkan agar Kerajaan Sabah memperkenalkan insentif pelaburan kepada syarikat-syarikat bertaraf multi-nasional atau syarikat-syarikat tempatan yang ingin membangunkan Taman Tema Keluarga ataupun Pusat Wellness Tourism di Sabah.

 

Tuan Speaker,

16. Saya juga mahu merekodkan ucapan tahniah kepada Kerajaan Sabah pimpinan YB Sulaman yang mensyaratkan pemilikan ekuiti pelaburan Kerajaan Negeri kepada pelaburan-pelaburan asing di sini termasuk tidak lagi memberikan pemilikan tanah, tetapi hanya pajakan kepada para pelabur.

 

17. Saya berharap Kerajaan Negeri melalui syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan Negeri yang telah ditubuhkan terus memiliki ekuiti dalam semua pelaburan tersebut sekurang-kurangnya 30 peratus. Ini sudah tentu dapat mengujudkan sense of ownership dengan matlamat menjana hasil yang lebih besar sesuai dengan halatuju Kerajaan Negeri.

 

18. Kerajaan Sabah juga perlu memberi tumpuan besar kepada proses pengambilan Sabah Electricity susulan penyerahan kuasa kawal selia tenaga dan gas kepada Kerajaan Sabah.

 

19. Dengan keupayaan penjanaan hasil yang besar, saya percaya Kerajaan Sabah boleh merancang bagaimana untuk mengambil-alih sepenuhnya saham yang dimiliki oleh Tenaga Nasional di SESB dan seterusnya memperkasakan Sabah Electricity dengan loji-loji kuasa tenaga yang dimiliki sendiri, bukan hanya menjadi pembeli kepada tenaga yang dikeluarkan oleh Independent Power Plant (IPP).

 

Tuan Speaker,

20. Saya mengalu-alukan peruntukan sebanyak RM124.7 juta dalam Belanjawan ini untuk pembangunan sektor perindustrian dan keusahawanan. Saya amat yakin melalui Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawanan Negeri Sabah,peruntukan ini dapat dioptimumkan dan diperkasakan dengan Belanjawan MADANI 2025 yang menyediakan RM40 bilion untuk pelbagai skim bantuan dan jaminan pembiayaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

 

21. Terkait dengan pembangunan produk halal daripada Sabah, saya mencadangkan agar Kerajaan Sabah dapat menyediakan satu makmal di sini bagi menguji produk-produk keluaran Sabah yang memohon untuk persijilan halal. Saya difahamkan pada ketika ini, produk-produk tersebut perlu dihantar ke makmal di Semenanjung untuk proses ujian dan sudah tentu ianya akan menyumbang kepada lanjutan masa memproses persijilan halal.

 

22. Kiranya makmal ini dapat dibina di Sabah, bukan sahaja masa menguji dan memproses persijilan halal itu akan lebih mudah, tetapi usahawan-usahawan yang telah mendapat persijilan halal ini akan mempunyai akses kepada banyak skim bantuan yang dilaksanakan oleh kementerian-kementerian di Persekutuan termasuk di KUSKOP.

 

23. Saya juga mengalu-alukan pemberian bantuan one-off sebanyak RM5,000 yang diperkenalkan buat pertama kali oleh Kerajaan Sabah kepada peniaga-peniaga kecil tepi jalan yang mempunyai lesen perniagaan yang sah. Saya anticipate pemberian ini akan melonjakkan pemilikan lesen perniagaan di kalangan usahawan mikro yang berjual bukan hanya di tepi jalan tetapi juga di tamu-tamu komuniti.

 

24. Saya mencadangkan kepada Kerajaan agar mensyaratkan sebahagian daripada pemberian ini digunakan untuk mencarum di PERKESO bagi memastikan usahawan-usahawan mikro ini mendapat perlindungan sosial yang lebih baik.

 

25. Saya juga ingin memaklumkan di Dewan ini bahawa Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Negeri Sabah sedang aktif melaksanakan Program Pendataan dan Pembangunan Usahawan, Penjaja dan Peniaga Kecil (Data PPK) atas inisiatif mereka sendiri termasuk menyediakan sebuah aplikasi untuk tujuan pendataan dan membantu penjaja-penjajaini memiliki lesen perniagaan yang dikeluarkan oleh Pejabat Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan.

 

26. Saya mencadangkan kementerian penyelaras bantuan one-off ini dapat menjemput Gabungan Persatuan ini untuk memberi taklimat inisiatif mereka sepertimana mereka telah bentangkan kepada Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawanan Negeri Sabah dan Majlis Perundingan Penjaja dan Peniaga Kecil Kebangsaan.

 

Tuan Speaker,

27. Saya juga merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sabah di atas peningkatan bantuan sekolah-sekolah dan badan-badan keagamaan bukan Islam daripada RM56.75 juta pada tahun 2024 ini kepada RM69.99 juta pada tahun hadapan. Ini jelas menunjukkan komitmen besar Kerajaan di bawah pimpinan YB Sulaman dalam memberi fokus kepada

keperluan masyarakat bukan Islam di Sabah.

 

28. Saya mencadangkan agar Kerajaan Sabah mempertimbangkan penyertaan pemimpin-pemimpin agama Kristian misalnya, untuk menunaikan ‘pilgrimage’ ke tanah-tanah suci di bawah dokongan dana yang disediakan ini terutama kepada paderi-paderi, pastor-pastor dan pemimpin gereja lain yang belum berkesempatan menunaikan pilgrimage tersebut.

 

29. Untuk ini juga, saya mencadangkan penubuhan sebuah Unit Hal Ehwal Khas Bukan Islam dapat ditubuhkan di Jabatan Ketua Menteri atau di Kementerian Kewangan untuk menyelaras semuabantuan ini termasuk Inisiatif Bantuan Penyelenggaraan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan.

 

30. Unit ini juga boleh berfungsi sebagai badan penyelaras kepada sumbangan korporat bercukai atau dikecualikan cukai kepada sekolah-sekolah dan badan-badan keagamaan bukan Islam di Sabah termasuk kunjungan pemimpin-pemimpin agama bukan Islam yang mahu berkunjung ke Sabah.

 

Tuan Speaker,

31. Saya juga mengalu-alukan peruntukan RM80.19 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah. Untuk ini, saya ingin mendapatkan penjelasan mengenai halatuju Kerajaan Sabah berkenaan dengan Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri (ILMAN).

 

32. Saya berpendapat, ILMAN tidak hanya sekadar menyediakan kursus-kursus latihan kepada Ketua-Ketua Masyarakat Anak Negeri tetapi sebenarnya boleh menjadi institusi yang menawarkan program pengajian sekurang-kurangnya ke peringkat Diploma Pengajian Undang-Undang Anak Negeri.

 

33. Saya mencadangkan agar Kerajaan Sabah berbincang dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagaimana menjadikan ILMAN sebagai salah satu sekolah atau fakulti pengajian UMS dalam bidang perundangan Anak Negeri Sabah. Untuk jangka masa panjang, kita perlu menyediakan hakim-hakim bertauliahtinggi di Mahkamah Anak Negeri di kalangan graduan- graduan di ILMAN.

 

34. Dengan ini, kita boleh mengangkat taraf Mahkamah Anak Negeri sama tingginya dengan Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah termasuk menubuhkan Jabatan Kehakiman Anak Negeri Sabah.

 

35. Saya juga ingin merekodkan dalam Dewan ini agar sebuah bangunan Mahkamah Anak Negeri di Kota Belud yang tersendiri dapat dibina dalam Rancangan Malaysia Ketigabelas (RMK13), 2026-2030 kelak di mana lawatan tapak telahpun dilaksanakan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) beberapa minggu yang lepas.

 

Tuan Speaker,

36. Penyediaan peruntukan RM497.54 juta bagi pembangunan modal insan dan teknologi maklumat jelas membuktikan komitmen Kerajaan Sabah pimpinan YB Sulaman kepada agenda pendidikan rakyat kita. Peningkatan besar peruntukan Program Biasiswa, Dermasiswa dan Bantuan Pelajar Negeri kepada RM127 juta sesungguhnya akan dapat membantu lebih banyak pelajar yang memerlukan.

 

37. Sebagai alumni penerima Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS), saya berharap agar pemberian biasiswa ini bukan hanya berasaskan kepada meritokrasi tetapi juga menggunakan pendekatan handicap khusus kepada para pelajar di luar bandar yang tidak mungkin mempunyai akses kemudahan pendidikan yang dinikmati oleh pelajar-pelajar di bandar.

 

38. Pendekatan handicap ini perlu diberikan kepada anak-anak pelajar keluarga B40 lebih-lebih lagi di kalangan keluarga tersenarai dalam daftar e-Kasih atau penerima bantuan kebajikan lain agar anak-anak mereka dapat melanjutkan pengajian ke institut pengajian tinggi.

 

39. Saya percaya kita semua bersetuju bahawa pendidikan merupakan platform untuk mengubah masa depan keluarga, maka menjadi tanggungjawab kita dalam Kerajaan untuk membela yang cemerlang dan mengangkat yang perlu dicemerlangkan.

 

40. Saya juga mencadangkan agar Kerajaan Sabah juga memanjangkan pemberian biasiswa ini kepada anak-anak Sabah yang mahu melanjutkan pengajian di Universiti Keusahawanan dan Koperasi Malaysia (UKKM), iaitu sebuah universiti swasta milik Institut Koperasi Malaysia (IKMA), agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

 

Tuan Speaker,

41. Saya juga merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sabah di atas sokongan kuat dalam menjadikan keperluan-keperluan rakyat Kadamaian sebagai keutamaan dalam projek pembangunan Kerajaan terutama melibatkan projek infrastruktur (jalan, jambatan dan bangunan awam) dan bekalan utiliti (air,elektrik dan telekomunikasi).

 

42. Sememangnya beberapa projek utama di Kadamaian sedang berjalan sekarang iaitu naiktaraf Jalan Sayap, Jalan Tengkurus, Jalan Podos dan Jambatan Kaung, bekalan air dan elektrik luar.

 

43. Pun begitu, keperluan rakyat Kadamaian masih banyak. Saya sekali lagi mahu merekodkan di Dewan ini agar Kerajaan Sabah dapat memasukkan dalam senarai keutamaan projek naiktaraf Jalan Gaur-Bukid- Mangkulat, Jalan Kebidahan, Jalan Kinasaraban-Kelawat, Jalan Melangkap-Gensurai dan Jalan Kiau- lLobong-Lobong yang menjadi laluan jalan utama rakyat Kadamaian.

 

44. Saya juga mencadangkan agar laluan ketiga mendaki ke Gunung Kinabalu dapat dibina daripada Kg Sayap dan kemudahan infra pelancongan kaki gunung Kinabalu di Kg Kiau, Kg Gensurai dan Kg Melangkap dapat disediakan serta kemudahan laluan serta infra yang bersesuaian untuk pelancongan di Gunung Nungkok di Kg Lobong-Lobong, Kg Kaung dan Kg Tambatuon juga dapat disediakan.

 

45. Saya juga mengalu-alukan penganjuran semula Mount Kinabalu International Climbathon. Untuk ini saya mencadangkan agar Kerajaan Sabah juga membangunkan sukan berasaskan Gunung Kinabalu yang lain seperti Kinabalu Ultra Marathon yang boleh melalui laluan larian mencakupi beberapa daerah bersempadan Gunung Kinabalu.

 

46. Kerajaan boleh menaiktaraf Kadamaian Ultra Marathon yang diperkenalkan sejak beberapa tahun lepas untuk dibangunkan bagi tujuan ini. Laluan yang sama bukan hanya boleh digunakan untuk pelari lasak marathon, tetapi juga penggemar basikal gunung (mountain bikers).

 

47. Bagi pihak rakyat Kadamaian, saya juga berterima kasih di atas pelaksanaan penyukatan tanah di bawah Program Penyukatan Tanah Anak Negeri (PANTAS) yang telah dilaksanakan di Kg Kiau dan Kg Tambatuon. Saya berharap Program PANTAS ini dapat diteruskan di Kadamaian sekurang-kurangnya satu kampung setiap tahun terutama di kampung-kampung yang berkecerunan tinggi seperti Kg Sayap, Kg Terintidion, Kg Melangkap, Kg Lobong-Lobong, Kg Kaung, Kg Gensurai, Kg Podos, Kg Pinolobuh, Kg Lasau dan Kg Lahanas serta kampung-kampung yang lain.

 

48. Pada masa ini, Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah sedang melaksanakan Kajian Penilaian Pelan Pembangunan Kadamaian 2020-2035 dan apabila kajian penilaian ini siap kelak, saya akan memanjangkan laporannya kepada Kerajaan Sabah untuk dijadikan sebagai dokumen input rakyat Kadamaian bagi Rancangan Malaysia Ketigabelas (RMK13) 2026-2030 kelak termasuk Rancangan Pembangunan Sabah dalam tempoh tersebut.

 

Tuan Speaker,


49. Saya hargai inisiatif YB Sulaman selaku Ketua Menteri mengadakan perjumpaan dengan Ahli-Ahli Parlimen Sabah bagi memastikan mereka dapat mengangkat keperluan pembangunan serta hak perlembagaan Sabah di Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Saya amat yakin perbincangan-perbincangan di antara Ketua Menteri Menteri dan pimpinan Kerajaan Sabah dengan Ahli-Ahli Parlimen Sabah akan diteruskan bagi memastikan kita senada seirama, sejiwa sehati dalam mengangkat apa yang dihakkan kepada kita di Sabah.

 

50. Untuk itu, susulan pembentangan ‘belanjawan luar dugaan’ oleh YB Menteri Kewangan pada Jumaat yang lalu, saya mencadangkan kepada Ketua Menteri dan Kerajaan Sabah untuk mempertimbangkan peruntukan khas negeri kepada Ahli-Ahli Parlimen Sabah untuk melaksanakan projek mesra rakyat di kawasan yang diwakili masing-masing.

 

51. Ini juga belum pernah dilaksanakan tetapi sesuatu yang positif kerana Ahli-Ahli Parlimen inilah yang akan melengkapkan mandat Kerajaan Sabah dalam mengangkat keperluan pembangunan serta hak perlembagaan Sabah di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

 

Tuan Speaker,

52. Menyudahi perbahasan ini, saya sekali lagi mengucapkan syabas kepada Kerajaan Sabah pimpinan YB Sulaman di atas pembentangan belanjawan ini. Mudah-mudahan apa yang dihasratkan di dalam belanjawan ini dapat dijayakan sepenuhnya bagi memberi manfaat kepada rakyat Sabah.

 

53. Sesama warga Sabah, mari mengelakkan daripada saling ‘berantakan’ atau memfitnah sesama sendiri, sebaliknya terus progresif bersatu bersama pimpinan Kerajaan Sabah yang ada hari ini. Kita semua di sini memperjuangkan matlamat yang sama. Mari bersatu untuk rakyat Sabah dan masa depan Sabah kita.

 

54. Saya juga ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Krismas yang bakal tiba kepada semua Ahli Dewan dan rakyat Sabah. Juga semoga tahun depan dapat memperteguhkan lagi semua kita dalam memastikan masa depan Sabah yang lebih cemerlang.

 

55. Akhir sekali, saya ingin menjemput semua juga untuk hadir ke sambutan Rumah Terbuka Krismas Kadamaian yang akan diadakan pada 30 Disember 2024 ini di Dewan Kadamaian Square, Taginambur.

 

56. Saya mohon menyokong Belanjawan Negeri Sabah 2025 ini. Pounsikou, kotohuadan, terima kasih.

Comentários


bottom of page