top of page

Teks ucapan penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 oleh Perdana Menteri

  • nabalunews
  • Mar 10, 2023
  • 13 min read


1. Pembentangan Belanjawan MADANI menghasratkan pembinaan semula ekonomi dan kesejahteraan insan, di samping dapat menghala sebuah kebijakan baharu yang memastikan kekayaan hasil mahsul negara ini diagihkan secara adil dan saksama; tidak hanya berlegar di antara golongan tertentu.

2. Selari dengan sebahagian firman Allah SWT daripada surah AlHasyr, ayat 7:

“....anak-anak yatim, orang-orang miskin dan untuk orang-orang yang dalam perjalanan, agar harta itu jangan hanya beredar di antara orangorang kaya saja di antara kamu.


3. Saya zahirkan ucapan terima kasih kepada Ahli-ahli Yang Berhormat yang berbahas peringkat dasar bagi Rang Undang-undang Perbekalan 2023. 86 Ahli Yang Berhormat menyentuh pelbagai perkara melibatkan Kementerian Kewangan mencakupi kepentingan rakyat dan negara. Saya hargai pandangan dan izinkan saya beri penjelasan terkait isu yang disinggung sepanjang perbahasan enam hari lalu.



1) MENOKTAHKAN MISKIN TEGAR

4. Ahli Yang Berhormat antaranya Bagai Serai, Larut, Bachok, Temerloh, Puncak Borneo dan Kubang Kerian menyentuh soal ikhtiar menoktahkan miskin tegar. Ada juga yang menyanggah kononnya dalam Islam itu tiada kebenaran untuk kita membasmi kemiskinan secara keseluruhan. Ini pandangan yang amat mengelirukan.

5. Sepertimana saya sebut sebelum ini, Khalifah Umar Abdul Aziz itu membuktikan, sekiranya ada ketegasan dalam melaksanakan tatakelola pentadbiran yang sempurna, ia mampu membawa keamanan dan kemakmuran hidup rakyat. Dalam tempoh 2 tahun lebih pemerintahan Khalifah Umar, sudah dapat diselesaikan dan terhapus golongan fakir miskin. Saat itu, tidak ditemukan lagi orang yang berhak menerima zakat.

6. Diriwayatkan oleh Yahya bin Said yang juga salah seorang gabenor zaman itu: "Saya pernah diutus Umar Abdul Aziz untuk memungut zakat ke Afrika. Selepas memungutnya, saya berniat untuk memberikannya kepada golongan fakir. Namun, tidak saya jumpai seorang pun. Umar bin Abdul Aziz telah menjadikan semua rakyat waktu itu kaya. Akhirnya, zakat itu saya putuskan untuk membeli hamba sahaya lalu memerdekakannya."

7. Di zaman itu, setelah berusaha dan tiada lagi golongan fakir, zakat digunakan untuk membantukan rakyat melangsai hutang, diberikan wang sebagai mahar perkahwinan dan diberi bekalan kepada para musafir. Ketika itu, rakyat hidup secara qana’ah (berasa cukup dengan apa yang ada) dan tidak ada fakir miskin.

8. (Tanggungjawab pemimpin) Hadis Sahih al- Bukhari:


Telah menceritakan kepada kami [Ismail] Telah menceritakan kepadaku [Malik] dari [Abdullah bin Dinar] dari [Abdullah bin Umar] radliallahu 'anhuma, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

"ketahuilah Setiap kalian adalah pemimpin, dan setiap kalian akan dimintai pertanggungjawabannya atas yang di pimpin, penguasa yang memimpin rakyat banyak dia akan dimintai pertanggungjawaban atas

yang dipimpinnya, setiap kepala keluarga adalah pemimpin anggota keluarganya dan dia dimintai pertanggungjawaban atas yang

dipimpinnya, dan isteri pemimpin terhadap keluarga rumah suaminya

dan juga anak-anaknya, dan dia akan dimintai pertanggungjawabannya

terhadap mereka, dan budak seseorang juga pemimpin terhadap harta tuannya dan akan dimintai pertanggungjawaban terhadapnya, ketahuilah, setiap kalian adalah bertanggung jawab atas yang dipimpinnya."


9. Maka sudah jelas, jika ada tekad dan kesungguhan, dengan tatakelola serta ikhtiar yang tersusun, maka kita mampu menoktahkan kemiskinan tegar di Malaysia.

10. Inisiatif Pendapatan Rakyat yang dilancarkan itu bukan sematamata memberi bantuan tetapi memastikan pendapatan rakyat miskin tegar ditingkatkan melalui pekerjaan dan perniagaan. Ini untuk pastikan mereka dapat meraih pendapatan sekurang-kurangnya 2,000 ringgit dalam tempoh 24 bulan pertama dan selepas itu mampu menjana pendapatan sendiri.

11. Usaha murni ini tentunya perlu merangkul seluruh kekuatan dan tenaga. Kementerian dan jabatan dengan peruntukan lebih 4 bilion ringgit telah tersedia untuk tumpukan agenda menangani kemiskinan. Pentadbiran ini juga memerlukan kerjasama erat Kerajaan Negeri serta pihak lain termasuk GLC dan NGO untuk menjayakan hasrat ini.



2) PERUNTUKAN KEPADA KERAJAAN NEGERI

12. Yang Berhormat Hulu Terengganu dan Kapar ada kongsikan sepotong ayat Al-Quran dalam surat Al-Baqarah, tetapi saya fikir ia harus dibaca juga dengan ayat-ayat seterusnya.

13. Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah, ayat 44 hingga 46:


Mengapa kamu suruh orang lain (mengerjakan) kebajikan, sedang kamu melupakan diri (kewajiban) mu sendiri, padahal kamu membaca Al Kitab (Taurat)? Maka tidakkah kamu berfikir?

Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan

(mengerjakan) solat. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk,

(iaitu) orang-orang yang meyakini, bahawa mereka akan menemui Tuhannya, dan bahawa mereka akan kembali kepada-Nya.

(Tafsir al-Munir)

14. Ahli Yang Berhormat Marang, Kubang Kerian, Kuala Krai, Kuala Terengganu dan beberapa lagi membangkit soal peruntukan kepada Kerajaan Negeri Pembangkang yang kononnya tidak adil dan rendah. Ini adalah tidak benar sama sekali.

15. Pemberian dan Bantuan Kerajaan Persekutuan serta Peruntukan Pembangunan mengikut negeri-negeri sebenarnya telah meningkat:

• Pemberian dan Bantuan Kewangan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri telah meningkat:

o Contoh: pemberian mengikut bilangan penduduk, penyelenggaraan jalan negeri, geran PBT & pemberian TAHAP.

Pecahan peruntukan pembangunan juga tidak menurun:

Selain menyediakan peruntukan pembangunan untuk Sabah Dan Sarawak, ahli Yang Berhormat juga menzahirkan keperluan untuk menyokong golongan usahawan Dan peniaga di Sabah Dan Sarawak. Sehubungan itu, sukacita diumumkan Kerajaan akan menyediakan peruntukan khusus untuk komuniti PKS Sabah Dan Sarawak dalam bentuk Dana pinjaman mikro melalui BSN sebanyak RM100 juta Dan Kebudayaan jaminan pinjaman PKS dari bank sebanyak RM500 juta

• Projek Utama tahun 2023 mengikut negeri:



16. Terkait soal Wang Ehsan, mengapa kita cadangkan supaya dana ini sebahagiannya dikhususkan untuk basmi kemiskinan? Kita lihat, walaupun Terengganu menerima lebih RM1 bilion wang ehsan setiap tahun, tetapi kadar kemiskinan Terengganu sekitar 12% tahun 2020, melebihi purata kemiskinan kebangsaan 8%. Ini juga sama di Kelantan apabila kemiskinan dianggar mencecah 21% tahun 2020.

17. Kementerian Kewangan hanya pastikan sebahagian dana Wang Ehsan diguna khusus untuk bantu rakyat miskin di Kelantan dan Terengganu. Kita tak kurangkan, 100% Wang Ehsan tetap untuk manfaat Kelantan dan Terengganu. Tidak berbangkit dana ini akan disalurkan untuk negeri lain.

18. Peruntukan Wang Ehsan kepada Kelantan dan Terengganu:


19. Alhamdulillah, untuk Sabah dan Sarawak juga sama. Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah bersetuju untuk gunakan sebahagian bayaran hasil petroleum ke Sarawak dan Sabah bagi menyahut usaha menoktahkan kemiskinan tegar.

20. Ada yang membangkitkan soal Lapangan Terbang Kulim Kedah seolah-olah Kerajaan batalkan sedangkan tidak guna peruntukan Persekutuan?

21. Sewaktu pembentangan Belanjawan, saya hanya bandingkan bahawa pembesaran Lapangan Terbang Pulau Pinang dan Subang akan melibatkan kos lebih rendah daripada Kulim. Saya tidak sebut batal.

22. Seperti yang dijelaskan Menteri Pengangkutan: isu pembatalan tidak berbangkit kerana tiada permohonan pernah dibuat kepada Kementerian Pengangkutan dan jika ada pelabur untuk membangunkan Lapangan Terbang Kulim, Kementerian Pengangkutan sedia berjumpa.

23. Hakikatnya, tiada syarikat swasta berwibawa yang telah memberi komitmen untuk biayai pembangunan Lapangan Terbang Kulim tanpa bantuan kewangan Kerajaan Persekutuan.

Pada Februari 2021, syarikat pemaju hartanah ECK Group telah dipilih sebagai rakan strategik Kerajaan Negeri Kedah untuk membangunkan Lapangan Terbang Kulim. Namun pada Julai 2022, usahasama dengan ECK dibatalkan kerana syarikat gagal buktikan dana dengan menjelaskan yuran komitmen kepada Kerajaan Negeri.

24. Pembesaran Lapangan Terbang Pulau Pinang itu mendesak mengambil kira kapasiti sedia ada hanya boleh tampung 6.5 juta penumpang sedangkan bilangan sedia ada mencecah 8 juta setahun.

25. Naik taraf Lapangan Terbang Pulau Pinang kepada 12 juta penumpang setahun akan dibiayai sepenuhnya Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan mampu menampung penumpang dan kargo di kawasan sekitar Pulau Pinang termasuk Kulim, Kedah.

3) DEFISIT FISKAL DAN HASIL NEGARA

26. Yang Berhormat Larut, Pagoh, Pokok Sena, Putrajaya dan

Semporna antaranya mempersoalkansasaran defisit fiskal 5% tahun 2023 dan 3.2% tahun 2025 serta apakah usaha Kerajaan dalam meningkatkan hasil negara.

27. Belanjawan MADANI yang dibentangkan itu jelas dan bertekad untuk mengawal kedudukan fiskal di samping memacu pertumbuhan ekonomi dan menangani beban sara hidup rakyat. Sasaran defisit fiskal yang ditetapkan itu munasabah mengambil kira kutipan hasil yang diraih dan cadangan hasil baharu serta mengawal perbelanjaan.

28. Pengurangan defisit sepatutnya tidak menjadi isu dan tidaklah mustahil. Kita pernah buktikan satu ketika dahulu era 90an, apabila ada pertanggungjawaban, kita tentunya boleh melaksanakan belanjawan lebihan atau surplus budget.

29. Malah, kalau dikatakan anggaran perbelanjaan tahun ini terlalu tinggi juga tidak benar. Perbelanjaan sebenar tahun 2022 itu adalah sekitar 395 bilion ringgit ketimbang anggarannya 332 bilion. Kita faham kenaikan itu ekoran perlu menampung subsidi minyak petrol yang tinggi.

30. Jadi, bagaimana kita boleh kurangkan defisit?:

Pengurangan defisit daripada 5.6% tahun lalu kepada 5.0% tahun ini akan disumbang oleh prestasi hasil yang memberangsangkan dan pengurangan perbelanjaan berkaitan pandemik COVID-19.

• Selanjutnya, pengurangan defisit daripada 5% kepada sekitar 4% tahun hadapan pula boleh dan mampu dicapai mengambil kira tahun ini kita perlu membayar komitmen 1MDB berjumlah USD3 bilion atau sekitar RM13.5 bilion.

• Akhirnya, hasrat mengurangkan paras defisit fiskal kepada 3.2% menjelang akhir 2025 dijangka dicapai melalui hasil daripada kebijakan dan pengarahan baharu yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang kukuh serta pengurangan ketirisan hasil dan subsidi.

• Dalam mengamalkan pendekatan fiskal bertanggungjawab, Kerajaan tetap mengimbangi pengurangan defisit dengan memastikan tahap perbelanjaan menyokong momentum pertumbuhan ekonomi serta memenuhi keperluan rakyat.

31. Langkah jangka panjang yang berkesan juga direncana bagi memperkukuh kedudukan fiskal negara. Ini termasuklah:

Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA)akan diperkenalkan bagi menambah baik tatakelola, akauntabiliti dan ketelusan dalam pengurusan fiskal. Insya-Allah, RUU ini dijangka dibentangkan di

Parlimen pada Mesyuarat Kedua akan datang iaitu bulan Jun 2023.

• Pengarahan baharu juga dibuat bagi memusatkan agensi atau syarikat Kerajaan yang dilihat mempunyai kuasa dan fungsi yang sama.

• Kerajaan juga akan memperkenalkan Akta Perolehan Kerajaan bagi menambah baik proses perolehan serta memastikan value for money dalam perolehan Kerajaan.

32. Terkait hal yang sama, ada pihak diluar sana mendakwa bahawa

Kerajaan ini banyak “memberi duit (bantuan) sana sini” dan menyoal sumbernya mengambil kira hutang dan bayaran faedah yang tinggi.

33. Berhubung dakwaan tersebut:

• Pertama memang benar Kerajaan ini prihatin rakyat. Belanjawan 2023 sediakan RM64 bilion untuk bantuan dan subsidi termasuk

Sumbangan Tunai Rahmah, RM8 bilion untuk hampir 9 juta rakyat.

• Kedua, adalah benar juga tahap hutang negara amat tinggi dan bayaran khidmat hutang tahun ini sahaja diunjur tinggi RM46 bilion atau 16% hasil negara.

Tapi apakah kita meningkatkan hutang seperti dahulu? Itu tidak benar. Pinjaman baharu tahun ini berjumlah RM94 bilion ketimbang tahun lalu hampir RM100 bilion. Tentunya tahap keberhutangan negara itu akan terus dikawal selaras dengan usaha kita menurunkan kadar defisit fiskal.

34. Keyakinan kepada Pentadbiran ini ditunjukkan dengan Fitch pada Februari 2023 telah mengekalkan penarafan BBB+ Malaysia dengan tinjauan stabil. Komitmen mengurangkan defisit secara berperingkat juga disambut baik pasaran kewangan. Keperluan pinjaman baharu ini juga ditampung sumber tempatan tanpa bergantung sumber luar negara.


4) TATAKELOLA PEROLEHAN KERAJAAN

Projek Tebatan Banjir

35. Yang Berhormat Kubang Kerian antaranya menyinggung bahawa seolah-olah Kerajaan Perpaduan telah menamatkan pelaksanaan projek tebatan banjir.

36. Sepertimana saya tegaskan, projek tebatan banjir itu diluluskan Kementerian dengan peruntukan yang ditetapkan. Saya batalkan kelulusan tersebut kerana kosnya tinggi dan dibuat secara rundingan terus iaitu melibatkan nilai kelulusan lebih

RM13.8 bilion. Cuma apakah projek tebatan banjir dibatalkan? Tidak dibatalkan; tetap mendesak dan mesti diteruskan.

37. Belanjawan 2023 sudah disebutkan pelaksanaan segera enam projek tebatan banjir termasuk di Johor dan Sungai Golok, Kelantan. Cuma kaedah perolehan itu diubah kepada tender kerana rundingan terus kosnya tinggi. Pentadbiran ini tidak pernah membatalkan projek tebatan banjir malah akan diberi keutamaan dan dilaksana segera sekalipun secara tender.

38. Menyedari isu ini mendesak, Kerajaan bersetuju menambah empat projek menjadikan 10 projek dilaksanakan segera tahun ini juga. Tambahan projek tersebut ialah:



39. Sejak mengemudi pentadbiran juga, saya telah umumkan beberapa peruntukan khas iaitu RM50 juta masing-masing untuk Kelantan, Terengganu dan Johor. Dalam Belanjawan Sementara 2023 juga diluluskan penambahan RM400 juta kepada NADMA.

40. Sebagai usaha memastikan kesiapsiagaan jentera Kerajaan pada tahap yang optimum untuk mendepani sebarang bencana Sebagai tambahan, sukacita diumumkan, Kerajaan bersetuju menambah peruntukan RM100 juta lagi kepada NADMA.

41. Berhubung projek JanaWibawa, tujuan asalnya adalah untuk membantu syarikat bumiputera yang berwibawa semasa tempoh pandemik. Tetapi dilihat, ada juga syarikat bukan bumiputera mendapat projek. Maka Pentadbiran ini membatalkan kelulusan rundingan terus sebelum ini dan akan ditender semula untuk pastikan kontraktor bumiputera yang berwibawa melaksanakan projek.

42. Soal pendakwaan itu yang dibuat seolah-olah terpilih. Saya sudah sebut, itu bukan urusan saya. Saya tidak pernah mencampuri urusan badan-badan penguat kuasa di negara ini.

Tender dikhuatiri melambatkan pelaksanaan projek

43. Ada Ahli Yang Berhormat seperti Puncak Borneo, Labuan dan Pekan membangkitkan soal kesegeraan pelaksanaan projek dan kekhuatiran proses tender itu melambatkan pelaksanaan.

44. Proses perolehan terbaik yang membelanjakan wang rakyat dan negara mestilah berlandaskan lima prinsip iaitu akauntabiliti awam, diurus secara telus, memberi nilai faedah terbaik, saingan terbuka serta mestilah adil dan saksama.

45. Secara dasarnya, setiap perolehan bernilai lebih 500 ribu itu dibuat secara tender terbuka. Kita faham ada projek mendesak atas kepentingan awam yang bernilai lebih tinggi perlu dilaksanakan segera. Kementerian Kewangan sedia memberi kelonggaran peraturan supaya projek itu dilaksanakan dengan kadar segera.

46. Sepertimana diumumkan dalam Belanjawan 2023, kita setuju beri kelonggaran untuk projek sekolah dan klinik daif serta selenggara lif PPR:

• had sebut harga perolehan kerja pembaikan sekolah dan klinik daif ditingkatkan daripada RM500 ribu kepada RM1 juta serta perolehan secara cabut undi daripada RM100 ribu kepada RM200 ribu.

• Manakala projek penyelenggaraan dan pembaikan lif yang juga perlu disegerakan, telah ditingkatkan had sebut harga daripada RM500 ribu kepada RM1.2 juta.

47. Asalkan bukan secara rundingan terus yang dilihat membebankan kewangan Kerajaan serta tidak adil dan terbuka, Kita sedia mempertimbang dan beri kelonggaran dalam kes-kes tertentu demi kesegeraan pelaksanaan projek mesra rakyat.

Perolehan Sekolah dan Klinik Daif

48. Terkait soal pembaikan sekolah dan klinik daif, Yang Berhormat Kuala Krai menggambarkan seolah-olah peruntukannya telah dipotong. Ini tidak benar sama sekali.

49. Berhubung klinik daif, hanya pentadbiran ini buat pertama kalinya mewujudkan peruntukan khusus untuk naik taraf dan baik pulih klinik daif termasuk menggantikan peralatan usang sebanyak RM400 juta.


5) CARUMAN KUMPULAN WANG SIMPANAN PEKERJA

50. Ada Ahli Yang Berhormat yang masih menyuarakan soal pengeluaran khas wang simpanan hari tua rakyat di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

51. Kita telah tegaskan, pengeluaran sewaktu Pandemik yang dibuat sebelum ini adalah keperluan mendesak, dan kita semua faham. Malah saya sewaktu Ketua Pembangkang turut menyokong kerana keadaan mendesak dan rakyat perlu wang untuk kelangsungan hidup.

52. Kini, tidak wajar untuk masih membenarkan pengeluaran khas dana simpanan persaraan rakyat. Negera seperti Australia, Peru dan Chile yang membenarkan pengeluaran simpanan persaraan pada 2020 dan 2021, sudah tidak lagi diteruskan tahun lalu. Malah Singapura, tidak sama sekali membenarkan pengeluaran khas tabung persaraan rakyat walaupun ketika pandemik.

53. Dalam keadaan sekarangpun jika dibenarkan pengeluaran, simpanan rakyat itu telah menyusut mendadak. Apakah adil untuk kita masih membebani hari tua rakyat dengan simpanan yang tidak mencukupi? Apakah tidak ada cara lain boleh diusahakan?

54. Tahukah kita bahawa simpanan KWSP itu begitu mustahak sehinggakan kalau rakyat diisytihar muflispun pemiutang tidak boleh ambil simpanan KWSP sebab ada akta yang melindungi?

55. Setakat ini, Belanjawan 2023 kita telah usahakan yang terdaya untuk bantu rakyat dan kurangkan beban sara hidup. Bukannya kita tidak berbuat apa-apa.

Untuk miskin tegar, Sumbangan Tunai Rahmah sehingga RM3,100 kita sediakan khusus dengan tambahan RM600 barangan keperluan asas. Kita juga laksana Inisiatif Pendapatan Rakyat untuk bantu mereka bekerja dan dipastikan jana pendapatan bermakna.

Pesawah dan pekebun kecil getah juga terus dibantu malah ada ikhtiar baharu yang sebelum ini tidak dilaksanakan.

o Selain bantuan Kerajaan RM600, BERNAS juga akan berkongsi 30% keuntungan bersih import beras yang pastinya menambah pendapatan pesawah miskin.

o Begitu juga pekebun kecil getah, selain bantuan Kerajaan RM800, paras harga pengeluaran getah juga dinaikkan daripada RM2.50 kepada RM2.70.

o Ada yang membangkitkan kenaikan 20 sen ini tidak mencukupi. Yang dihairankan, kalau betul membela nasib para penoreh miskin mengapa tidak ada sebarang kenaikan dibuat Pentadbiran sebelum ini?



• Untuk rakyat berniaga juga kita bantu. PMKS dengan pendapatan bercukai bagi RM150 ribu pertama dikurangkan daripada 17% kepada 15% yang menjimatkan RM3,000 wang 150 ribu orang usahawan.

• M40 juga dibantu dengan pengurangan kadar cukai pendapatan individu sebanyak 2 mata peratusan bagi banjaran pendapatan lebih RM35 ribu hingga RM100 ribu. Ini membolehkan 2.4 juta rakyat dapat lebihan pendapatan sehingga RM1,300.

• Pelbagai pinjaman juga disediakan untuk rakyat bangkit dan cipta pendapatan melalui perniagaan. Agensi Kerajaan seperti TEKUN dan MARA ada sediakan dana pembiayaan melebihi

RM400 juta.

56. Jadi usahlah diusik lagi wang simpanan rakyat. Lebih-lebih lagi kita berdepan cabaran negara menua menjelang 2030, iaitu yang tercepat di dunia. Sebab itu, bermula daripada sekarang, Kerajaan ambil langkah awal beri caruman tambahan RM500 ringgit, supaya kemudian hari, caruman itu dapat dimanfaatkan dengan dividen terkumpul yang diraih.

57. Tetapi, Pentadbiran ini mendengar segala keluhan. Oleh itu, Kerajaan bersetuju, jika masih ada rakyat yang memerlukan tunai, mereka boleh menggunakan baki caruman dalam Akaun 2 KWSP sebagai sandaran untuk membuat pinjaman peribadi daripada bank. Saya telah mengarahkan KWSP meneliti kaedah terbaik bagi melaksanakan kemudahan ini.

58. Berhubung hal dibangkitkan Yang Berhormat Ayer Hitam tentang kemungkinan percanggahan data pencarum yang disebut dalam Belanjawan 2023 dengan data Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan KWSP bagi tahun 2021. Itu tidak benar sama sekali. Boleh rujuk kenyataan KWSP yang baru dikeluarkan.

59. Data Laporan itu melaporkan ahli aktif 41 hingga 55 tahun dan purata simpanan manakala, data Belanjawan 2023 mengguna pakai semua ahli berumur 40 hingga 54 tahun dan median simpanan.

60. Kalau dirujuk data mengikut purata simpanan, itu memang kurang sesuai sebab taburannya tidak seimbang dan dipengaruhi dengan ahli dengan jumlah simpanan yang amat besar. Maka, data yang kita dirujuk ialah data median yang lebih sesuai kerana mengambil titik tengah simpanan ahli.



6) ISU-ISU CUKAI

61. Yang Berhormat Larut, Puchong, Bagan, Tebrau dan Pekan menyuarakan soal cadangan pelaksanaan cukai barangan mewah yang dikhuatiri mengesankan sektor pelancongan.

62. Saya beri jaminan, sebelum kita laksanakan, penelitian terperinci dibuat berhubung mekanisme percukaian barangan mewah termasuk jenis barangan yang dikategorikan mewah, nilai ambang bagi kenaan cukai dan kadar cukai yang akan dikenakan.

63. Saya sudah arahkan Kementerian Kewangan segera adakan libat urus dengan pihak berkepentingan minggu hadapan untuk membincangkan perincian pelaksanaan cukai ini. Jangan bimbang Kementerian Kewangan akan teliti perkara ini untuk pastikan sektor seperti sektor pelancongan tidak terkesan.

64. Berhubung cadangan Cukai Keuntungan Modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai pada tahun 2024 pula, ia tidak akan menjejaskan perniagaan sehingga menyebabkan pengaliran keluar pelaburan.

65. Ingin dijelaskan bahawa cadangan Cukai ini merupakan satu langkah yang baik kerana bersifat progresif dan dapat mengatasi unsur ketidakadilan. Kita tahu bahawa setiap pendapatan bergaji akan dikenakan cukai tetapi pendapatan hasil keuntungan modal yang diraih kebanyakan pengusaha perniagaan itu tidak dikenakan cukai.

66. Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, Kerajaan akan mengambil kira maklum balas semua sebelum Cukai ini dikuat kuasa. Kadarnya akan dipastikan rendah dan tidak akan menjejaskan kedudukan ekonomi dan daya saing negara selaras dengan usaha berterusan untuk menggalakkan pelaburan asing dan tempatan. Kerajaan juga sedia mempertimbang cadangan supaya diperkenalkan nilai ambang bagi kenaan cukai supaya tidak menjejas PMKS serta pengecualian tertentu seperti untuk penstrukturan semula perniagaan.


7) SYARIKAT BERKAITAN KERAJAAN & AGENSI

67. Beberapa Ahli Yang Berhormat antaranya oleh Titiwangsa, Paya Besar dan Machang ada membangkitkan soal tatakelola Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

68. Kementerian Kewangan selaku pemegang saham syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) [MKD] sentiasa memantau prestasi agar syarikat MKD menjalankan fungsi dan peranan selaras dengan objektif penubuhan dan mandat yang telah ditetapkan.

69. Ini termasuk mengambil langkah pemantauan melalui

pembentangan pelan perniagaan tahunan syarikat, penetapan sasaran

KPI, pelaporan Penyata Kewangan Beraudit Tahunan dan pelaporan Pengurusan Kewangan Suku Tahun.

70. Bagi syarikat MKD yang tidak mencapai sasaran pelan perniagaan dengan KPI di bawah 80 peratus, syarikat ini wajib mengemukakan penjelasan dan pelan tindakan bagi membaiki prestasi dan kedudukan kewangan syarikat.

71. Terkait hal yang sama, sepertimana pengarahan baharu di bawah Belanjawan 2023, Kerajaan akan melaksanakan pemusatan syarikat dan agensi yang mempunyai pertindihan kuasa atau fungsi yang hampir sama. Langkah ini mustahak supaya matlamat penubuhan agensi dapat diperkasa dengan tatakelola yang lebih baik selain penting untuk mengurangkan kebergantungan kepada Kerajaan.


PENUTUP

Dato’ Yang di-Pertua,

72. Tentunya saya mengalu-alukan dan berterima kasih atas teguran, kritikan dan saranan yang membina oleh Ahli-ahli Yang Berhormat demi mencipta kemakmuran dan kesejahteraan Malaysia.

73. Kerajaan Perpaduan akan terus komited memperjuangkan nasib rakyat dan membina semula negara ini secara adil dan saksama kepada semua golongan dan lapisan masyarakat.

74. Marilah kita sama-sama menghayati peringatan Allah swt dalam firmannya surah al-Nisa ayat 135:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jadilah kamu penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah, walaupun terhadap dirimu sendiri atau

terhadap ibu bapa dan kaum kerabatmu. Jika dia (yang terdakwa) kaya ataupun miskin, maka Allah lebih tahu kemaslahatan (kebaikannya).

Maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu karena ingin menyimpang dari kebenaran. Dan jika kamu memutarbalikkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi, maka ketahuilah Allah Maha teliti terhadap segala apa yang kamu kerjakan.”

75. Mengakhiri penggulungan ini, sekali lagi saya rakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih atas pandangan dan input-input yang dikongsikan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat.

Sekian, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page