top of page
  • Wartawan Nabalu News

TEKUN jalin hubungan mesra dengan usahawan Membakut


Rowindy (tengah), bersama Hemin (4 dari kiri), bersama dengan para penerima skim usahawan TEKUN Nasional.

27 Sept 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


MEMBAKUT: TEKUN Nasional telah mengadakan Majlis Perjumpaan Usahawan dan Taklimat Pembiayaan yang dihadiri oleh 150 orang usahawan TEKUN dari sekitar Membakut pada Selasa.


Ahli Lembaga Amanah TEKUN Nasional Majlis, Rowindy Lawrence Odong berkata, majlis ini bertujuan untuk menjalin hubungan mesra dengan usahawan setempat dan memberi penerangan tentang produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh TEKUN Nasional.


Dalam pada itu, beliau turut menyatakan sokongan dan prihatin beliau terhadap pembangunan keusahawanan di negeri Sabah.

Rowindy berucap pada majlis tersebut.

“Semoga usahawan yang menerima cek pembiayaan pada hari ini menggunakan peruntukan itu sewajarnya dalam mengembangkan lagi perniagaan.


“Para usahawan di luar sana yang masih tercari-cari sumber kewangan untuk modal pusingan perniagaan bolehlah hadir ke pejabat TEKUN berhampiran untuk mendapatkan info lanjut,” katanya semasa majlis tersebut.


Turut hadir pada majlis tersebut adalah, Pengurus Tekun Nasional Negeri Sabah Hemin Osumping, dan Ahli Lembaga TEKUN Nasional Datuk Gilbert Syam dan Rogers Tian.


Tambah Rowindy, pelbagai agenda dan program telah dilaksanakan oleh TEKUN Nasional untuk manfaat rakyat di Malaysia ini khususnya berkaitan perniagaan.


Seiring dengan perubahan dan kehendak semasa. TEKUN Nasional turut mempelbagaikan produk pembiayaannya bagi memenuhi keperluan dan memberi pilihan kepada usahawan dalam bidang keusahawanan.


Dalam majlis tersebut seramai 10 orang usahawan TEKUN te;ah menerima cek pembiayaan berjumlah RM50,000.00. Seterusnya, rombongan TEKUN Nasional turut mengadakan lawatan ke permis usahawan-usahawan sekitar Membakut.


Antara produk pembiayaan yang diperkenalkan oleh TEKUN Nasional adalah Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT), yang khusus untuk usahawan pasar tamu. Skim ini menawarkan pembiayaan mikro berkumpulan sehingga RM5,000.00, dengan menggunakan konsep berkumpulan yang memudahkan usahawan untuk mendapatkan kemudahan pembiayaan.



TEKUN Nasional mensasarkan untuk memberi pembiayaan SPUT berjumlah RM5 juta kepada 1,000 orang usahawan pasar tamu, bagi meningkatkan pendapatan dan taraf sosioekonomi golongan B40 khususnya di Sabah dan Sarawak.


TEKUN Nasional merupakan sebuah agensi kerajaan yang ditubuhkan pada tahun 1998, dengan matlamat untuk membantu usahawan Melayu dan Bumiputera melalui pembiayaan perniagaan.


Sehingga kini, TEKUN Nasional telah memberi pembiayaan perniagaan kepada 564,918 orang usahawan yang bernilai RM 8.71 bilion di seluruh negara. Di Sabah, sebanyak RM 920 juta telah disalurkan kepada 61,238 orang usahawan sejak 1998, dan RM 88 juta telah disalurkan kepada 4,721 orang usahawan pada tahun ini sahaja.


TEKUN Nasional berharap dengan mengadakan acara turun padang seperti ini, dapat memberi pendedahan dan motivasi kepada usahawan untuk mengambil peluang keusahawanan yang ada, dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.


Comments


bottom of page