top of page

TEKUN Nasional kongsi peluang pembiayaan perniagaan bersama pelajar Fakulti Ekonomi, UMS

nabalunews


10 Disember 2024


KOTA KINABALU: Pelajar tahun akhir Fakulti Ekonomi, Universiti Malaysia Sabah (UMS) diberikan taklimat mengenai pembiayaan perniagaan dan keusahawanan oleh Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional di kampus UMS di sini, hari ini.


Ahli Lembaga Amanah TEKUN Nasional, Rowindy Lawrence berkata perkongsian ini bertujuan memberi pendedahan awal mengenai peluang pembiayaan perniagaan melalui TEKUN Nasional, atas jemputan pensyarah subjek keusahawanan, Fakulti Ekonomi UMS, Ahmad Shakani.


Katanya program ini mendekatkan para pelajar tahun akhir Fakulti Ekonomi, UMS dengan dunia keusahawanan, terutamanya bagi mereka yang bercadang untuk menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan selepas tamat pengajian kelak.

Mohd Shakani (baju kuning) dan Rowindy (tengah)
Mohd Shakani (baju kuning) dan Rowindy (tengah)

Dalam sesi perkongsian ini, Rowindy memberikan motivasi kepada pelajar manakala pegawai TEKUN, Puan Ramatiya menyampaikan taklimat.


Rowindy berkata dalam sesi ini, fokus diberikan kepada pendedahan awal mengenai pelbagai peluang pembiayaan perniagaan dan keusahawanan yang ditawarkan oleh TEKUN Nasional yang merangkumi maklumat penting seperti jenis pembiayaan yang tersedia, syarat kelayakan, proses permohonan, serta kelebihan yang dapat dinikmati oleh usahawan baharu melalui program pembiayaan ini.


"Selain itu, sesi ini turut membuka ruang kepada pelajar untuk bertanya dan mendapatkan penjelasan lanjut mengenai pelbagai inisiatif lain yang disediakan oleh TEKUN Nasional. Sambutan daripada pelajar sangat menggalakkan, dengan banyak soalan yang diajukan berkaitan cara-cara memulakan perniagaan, strategi mengurus kewangan, dan peluang untuk mengembangkan perniagaan kecil ke tahap yang lebih tinggi," katanya.

Taklimat oleh Pegawai TEKUN
Taklimat oleh pegawai TEKUN

Menurut Rowindy lagi, program seperti ini amat penting kerana ia bukan sahaja memberi pendedahan mengenai sumber pembiayaan, tetapi juga membantu memupuk semangat keusahawanan dalam kalangan generasi muda.


"Saya percaya bahawa dengan sokongan yang sewajarnya, ramai dalam kalangan pelajar ini mampu menjadi usahawan berjaya yang boleh menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.


"Tahniah dan terima kasih kepada Fakulti Ekonomi, UMS, atas inisiatif dan jemputan ini. Semoga kerjasama seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi melahirkan lebih ramai usahawan muda yang berdaya saing dan berinovasi," katanya.

Rowindy memberi motivasi kepada peserta
Rowindy memberi motivasi kepada peserta

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page