top of page
  • Wartawan Nabalu News

TEKUN Nasional luluskan RM337.7 juta kepada usahawan di Pulau Pinang sehingga Jun 2024: Ewon

29Jun 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


BAYAN LEPAS (PULAU PINANG): Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, TEKUN Nasional meluluskan pembiayaan sejumlah RM337.7 juta kepada 31,996 usahawan di Pulau Pinang sejak 1998 sehingga Jun tahun ini.


Beliau berkata, secara keseluruhannya dalam tempoh yang sama Tekun Nasional telah menyalurkan pembiayaan kepada seramai 806,223 usahawan berjumlah RM9.49 bilion di seluruh negara.


Katanya, pembiayaan itu disalurkan melalui 174 pejabat cawangan yang memberi perkhidmatan di semua 222 kawasan Parlimen seluruh Malaysia.


“Bagi tahun 2024, TEKUN Nasional telah meluluskan 19,438 pembiayaan berjumlah RM401 juta di seluruh negara.


“Manakala bagi Pulau Pinang, sebanyak 682 pembiayaan berjumlah RM12.7 juta telah diluluskan melalui tujuh pejabat cawangan TEKUN yang memberi perkhidmatan kepada 13 kawasan Parlimen seluruh Pulau Pinang,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Karnival Tekun Madani Negeri Pulau Pinang, di SP Arena Convention Centre Seberang Jaya, di sini, hari ini.


Karnival itu dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Ewon berkata, dalam Bajet 2024, kerajaan memperuntukkan RM330 juta kepada TEKUN Nasional bagi membantu usahawan informal dan mikro dalam perniagaan.


“Nilai ini termasuklah RM30 juta yang diperuntukkan kepada usahawan masyarakat India di bawah Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI),” katanya.

 

Katanya lagi, pada tahun ini TEKUN Nasional mensasarkan RM800 juta untuk disalurkan kepada 45,670 usahawan informal dan mikro di seluruh negara.


“Ini bermakna, TEKUN Nasional akan menggunakan peruntukan dalaman sebanyak RM470 juta termasuk RM30 juta untuk pelaksanaan SPUMI Goes Big,” katanya.


Pada majlis itu, turut disampaikan Anugerah Usahawan Tekun Berjaya Negeri Pulau Pinang kepada 10 usahawan Tekun sebagai pengiktirafan kepada mereka yang mencapai kejayaan cemerlang dalam perniagaan masing-masing.


Ewon berharap, kejayaan usahawan itu akan menjadi sumber inspirasi kepada usahawan lain untuk terus berjaya dan mencapai kejayaan cemerlang dalam perniagaan yang diceburi.


Turut hadir Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid, Timbalan Menteri Kuskop Datuk Ramanan, Ketua Setiausaha Kuskop Dato’ Sri Suriani Ahmad, Ketua-Ketua Jabatan serta wakil jabatan dan agensi peringkat persekutuan dan negeri.

Comments


bottom of page