top of page
Wartawan Nabalu News

TEKUN sasar bantu 5,300 usahawan di Sabah tahun ini: Ewon

16 Januari 2025

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: TEKUN Nasional, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mensasarkan untuk membantu 5,300 usahawan di Sabah dengan nilai pembiayaan sebanyak RM150 juta, tahun ini.


Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, pada tahun 2024 sebanyak RM149 juta telah disalurkan kepada 2,884 usahawan TEKUN Negeri Sabah.


“Dalam tempoh yang sama RM11 juta disalurkan kepada 158 usahawan bagi Parlimen Kota Belud.


“Secara keseluruhannya TEKUN Nasional, telah menyalurkan pembiayaan perniagaan bernilai RM1.1 billion kepada 65,642 usahawan di Sabah, sejak diwujudkan pada 1998 sehingga Disember 2024.

“Daripada jumlah itu, RM65 juta disalurkan kepada 3,781 usahawan di Kota Belud. Pencapaian ini membuktikan TEKUN terus relevan dan menjadi pilihan akses pembiayaan di kalangan usahawan informal dan mikro di negara ini,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Asas Keusahawanan Kota Belud, di Tag Valley Taginambur, di sini, hari ini.


Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi(Dasar dan Pemantauan), Noor Afifah Abdul Razak, Pengerusi Tekun Nasional Dato’ Haji Abdullah Sani Abdul Hamid, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tekun Dato Adam Abdul Ghani dan Pengurus Tekun Negeri Sabah Hemin Osumping


Ewon berkata, sehingga 31 Disember 2024 TEKUN Nasional telah mengadakan sebanyak 1,026 siri Seminar Asas Keusahawanan di seluruh negara dengan jumlah usahawan yang mengikuti program ini seramai 300,401 orang.

“Sasaran 2025 bagi seminar asas keusahawanan Sabah adalah seramai 1,800 orang dengan 6 siri seminar,” katanya.


Katanya, usahawan yang berjaya adalah mereka yang memiliki pengetahuan yang kukuh, serta kemahiran yang diperlukan untuk menguruskan perniagaan dengan berkesan.


“TEKUN Nasional berperanan besar dalam memberi sokongan kepada usahawan-usahawan kecil dengan menyediakan pembiayaan dan latihan yang komprehensif.

“Seminar ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk memastikan lebih ramai rakyat Sabah dapat memanfaatkan peluang perniagaan yang ada, seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri dan negara.

“Saya berharap seminar ini dapat memberi impak positif kepada perkembangan perniagaan kecil di Sabah, khususnya di kawasan luar bandar,” katanya.


Seminar asas keusahawanan yang berlangsung selama satu hari itu disertai 300 usahawan TEKUN cawangan Kota Belud. Ia bertujuan memberi pendedahan serta kemahiran asas dalam dunia keusahawanan kepada para usahawan kecil dan sederhana (IKS) serta mereka yang berminat menceburi bidang keusahawanan.

Comments


bottom of page