top of page
nabalunews

Terminal feri Labuan sibuk, sesak menjelang Krismas



20 Disember 2024


LABUAN: Menjelang perayaan Krismas dan musim cuti sekolah, Terminal Feri Roll-On Roll-Off (Ro-Ro) Labuan dan Terminal Feri Antarabangsa Labuan sibuk dan sesak dengan kehadiran penumpang tempatan serta pelancong, khususnya mereka yang ingin pulang ke Sabah dan Sarawak.


Menurut laporan Bernama, ratusan kenderaan pelbagai jenis turut dilihat berbaris sepanjang lebih 300 meter menuju ke terminal feri seawal 7 malam.


Labuan Point Enterprise Sdn Bhd, syarikat pengurusan tiket yang mengendalikan perkhidmatan feri MV Joy Star, MV Kimanis 1, MV Putrajaya 1 dan MV Goodwill Star, memaklumkan permintaan terhadap tiket amat menggalakkan sejak jualan dibuka sebulan lalu bagi memenuhi keperluan sempena musim perayaan.


Pengurusnya Robert Ling ketika ditemui Bernama berkata operasi feri telah ditingkatkan iaitu daripada empat perjalanan sehari kepada sembilan perjalanan sehari bermula hari ini sehingga minggu depan bagi menampung lonjakan jumlah pengembara.


Beliau berkata tambahan perjalanan feri itu bagi memastikan perkhidmatan feri berjalan lancar dari pagi hingga 8 malam untuk mengurangkan kesesakan di terminal.


Sehubungan itu, Ling menasihati pengembara supaya merancang perjalanan mereka sebaiknya dan tiba di jeti lebih awal bagi memastikan proses menaiki feri berjalan lancar berikutan jumlah pengembara yang tinggi.


Katanya bagi mengendalikan operasi dengan lebih cekap, pihaknya telah mengambil beberapa langkah termasuk menambah bilangan petugas dan memperkemas proses jualan tiket.

Comments


bottom of page