top of page
nabalunews

Tiada had umur untuk tuntutan insurans pekerjaan di bawah PERKESO




25 November 2024

 

KUALA LUMPUR: Pekerja di Malaysia tanpa mengira usia kini mempunyai akses kepada perlindungan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), termasuk mereka yang berumur 60 tahun ke atas, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman. 

 

Beliau menjelaskan bahawa pekerja lanjut usia tetap layak dilindungi di bawah Skim Bencana Kerja PERKESO, walaupun had umur untuk manfaat seperti Pencen Ilat dan Pencen Penakat kekal sehingga 60 tahun. 

 

"Sehingga hari ini, had umur bagi kelayakan manfaat pencarum PERKESO untuk Pencen Ilat dan Pencen Penakat di bawah Akta 4 masih kekal sehingga 60 tahun. 

 

"Namun, pekerja berumur 60 tahun ke atas dan masih bekerja dalam sektor formal, mereka layak dilindungi di bawah Skim Bencana Kerja, Akta 4. Kadar caruman ditetapkan adalah mengikut Jadual Kedua, yang mana ia dibayar oleh majikan sahaja," katanya di Dewan Rakyat hari ini. 

 

Beliau turut memaklumkan bahawa pindaan had umur kelayakan daripada 55 tahun kepada 60 tahun telah dilaksanakan pada tahun 2013, selaras dengan Akta Umur Persaraan Minimum 2012. 

 

Bagi pekerja sektor tidak formal, Abdul Rahman berkata mereka dilindungi di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789), yang menawarkan perlindungan terhadap bencana pekerjaan, termasuk penyakit akibat pekerjaan dan kemalangan semasa menjalankan tugas. 

 

"Akta ini memberikan perlindungan kepada individu yang menjalankan pekerjaan sendiri terhadap bencana pekerjaan, memastikan keselamatan mereka terjamin dalam pelbagai situasi kerja," tambahnya. 

Comments


bottom of page