TIADA JUSTIFIKASI LENGAHKAN PELAKSANAAN UNDI 18: SUARA ORANG MUDA SABAHTIADA JUSTIFIKASI LENGAHKAN PELAKSANAAN UNDI 18: SUARA ORANG MUDA SABAH
top of page
  • Wartawan Nabalu News

TIADA JUSTIFIKASI LENGAHKAN PELAKSANAAN UNDI 18: SUARA ORANG MUDA SABAH


2 Mac 2021

Oleh Marryan Razan


Lanskap politik Malaysia dijangka berubah pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, dengan penyertaan jutaan pengundi baru terdiri daripada orang muda berumur 18 hingga 20 tahun.


Ini berikutan ketetapan Parlimen pada Julai 2019 yang meluluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur minimum mengundi dan menjadi calon pilihan raya daripada 21 ke 18 tahun.



Mengikut perancangan awal, pendaftaran pengundi berumur 18 tahun bakal dilakukan secara automatik selewat-lewatnya Julai depan. Bagaimanapun, setakat ini, pindaan Perlembagaan itu masih belum diwartakan untuk dilaksanakan.


Sehubungan itu pelbagai pihak menggesa kerajaan supaya segera mewartakan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 atau RUU Undi 18 bagi membolehkan warganegara Malaysia berumur 18 tahun mendaftarkan diri sebagai pengundi.


Buat masa ini, ramai yang tertanya-tanya bilakah pindaan itu akan diwartakan?



Ramai belia berpendapat umur mengundi yang diturunkan dari 21 ke 18 tahun akan memberi peluang keemasan kepada generasi muda untuk sama-sama menentukan masa hadapan negara, sekali gus bakal melakar sejarah dalam arena politik Malaysia, termasuk di Sabah.


Beverly Ann Benny, 19, dari Kampung Pukak Kiulu, berpendapat, tiada justifikasi melambat-lambatkan pelaksanaan Undi18 kerana ia sudahpun diluluskan di Parlimen pada Julai 2019.

Beverly Ann Benny

Pelajar SMK Tun Fuad Stephen Kiulu itu berkata, dia sudah bersedia untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih pada pilihan raya akan datang.



“Saya sentiasa mengikuti perkembangan politik Malaysia terutamanya Sabah dan berpendapat golongan muda terutamanya yang berumur 18 tahun juga layak mengundi dan berperanan penting menentukan hala tuju negara.


“Ini kerana mereka sudah mempunyai pemikiran yang matang dan boleh menilai calon parti mana yang terbaik untuk menjadi wakil rakyat, Parlimen dan kerajaan,” katanya.


Beverly Ann berkata, pendedahan awal golongan muda dalam politik juga akan membuka minda dan mematangkan mereka dari segi politik agar menjadi pemimpin yang baik dan adil pada masa akan datang.


“Mungkin ada sesetengah pihak berpendapat mereka yang berumur 18 tahun masih belum matang untuk mengundi namun bagi saya, tiada sebab hak mereka dinafikan,” katanya.


Sementara itu rakan sekolahnya, Jessica Suani, 20 berpendapat keputusan kerajaan menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun memberi peluang kepada golongan muda bersuara dan memilih kerajaan serta pemimpin yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat.

Jessica Suani

“Saya sering mengikuti perkembangan semasa mengenai politik di Sabah melalui perkongsian rakan-rakan dan ahli-ahli politik serta para pemimpin dalam media sosial seperti Facebook,” katanya.


Pelajar dari Kg.Tiong Gondohon itu berharap lebih ramai calon golongan muda diketengahkan pada pilihan raya akan datang bagi mewakili suara generasi muda.



“Sebab itu undi 18 amat penting untuk memberi sokongan kepada calon-calon muda kerana mereka adalah bakal pewaris kepimpinan negara,” katanya.


Jesslina George, 20, dari Kg. Lawa Mandau Telipok berkata, golongan muda 18 tahun perlu diberi penerangan dan pendedahan awal mengenai pelbagai isu terutamanya sistem demokrasi dan isu-isu semasa politik agar mereka dapat membuat keputusan bijak semasa membuang undi tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

Jesslina George

“Ini penting kerana bukan semua golongan 18 tahun faham atau mengikuti perkembangan semasa terutamanya mengenai politik,” katanya


Jacquline James, 20, dari Kampung Borombon Kiulu berkata, tiada sebab RUU tidak dilaksanakan. Golongan muda 18 tahun juga mempunyai hak untuk menentukan masa depan negara terutamanya di Sabah, sekaligus memilih kerajaan yang bakal mentadbir negara.


“Saya sudah bersedia untuk mengundi dan akan mendaftar sebagai pengundi,” katanya.



Britney Joannes, 20, sependapat dengan Jacquline dan berharap kerajaan segera mewartakan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi membolehkan golongan 18 tahun mendaftarkan diri seterusnya menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.


Britney Joannes

Pelajar SMK Tun Fuad Stephen Kiulu itu berkata, golongan muda mempunyai sudut pandangan yang lebih ‘segar’ dan mungkin lebih rasional, sebab itu undi 18 amat penting untuk memilih kerajaan dan wakil rakyat.


Bagaimanapun katanya, dalam peringkat umur yang masih muda, golongan itu juga mudah dipengaruhi rakan sebaya atau pihak-pihak berkepentingan.


“Sebab itu, sebelum pilihan raya, golongan muda perlu diberi penjelasan agar tidak tersilap membuat pilihan,” katanya.


Sementara itu, Oliver Geminik, 19, dari Kg.Tomis Tamparuli berkata, dia sudah bersedia untuk mengundi pada pilihan raya akan datang untuk memilih wakil rakyat yang benar-benar dapat membantu memajukan kawasannya serta menyuarakan masalah golongan belia.


“Zaman sekarang, golongan muda lebih terdedah kepada pelbagai maklumat dari dalam dan luar negara terutamanya perkembangan politik melalui media-media sosial berbanding golongan muda zaman dahulu yang hanya mengikuti perkembangan politik melalui suratkhabar dan televisyen,” katanya.

Oliver

Katanya lagi, undi muda yang berusia antara 18 hingga 20 tahun amat penting. “Pilihan mereka lebih rasional dari segi memilih calon wakil rakyat atau Parlimen untuk membentuk kerajaan berbanding warga tua yang kurang mengikuti isu-isu semasa politik negara.


“Walaupun saya belum mengundi tetapi apa yang saya lihat selama ini kebanyakan pengundi warga tua khususnya di kawasan luar bandar dipengaruhi oleh anak-anak mereka apabila memilih calon.



“Berbeza dengan golongan muda yang mempunyai pendirian dan bijak memilih calon tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Oleh itu saya berharap kerajaan segera mewartakan Undi18 bagi membolehkan kami membuang undi pada pilihan raya akan datang,” katanya.


Ray Lysander Steven Galono, 18, pelajar SMK Kelombong berkata, dia sudah bersedia untuk mengundi dan berharap Undi18 dilaksanakan tahun ini.

Ray Lysander

“Saya sering mengikuti perkembangan semasa tentang politik Malaysia, terutamanya Sabah dan minat membaca sejarah Sabah walau tidak tersenarai dalam buku teks seperti Tragedi 66,” katanya.


Katanya, penglibatan golongan muda dalam politik akan membawa pemikiran lebih matang seterusnya memberikan mereka peluang membuat pilihan sendiri mengikut kehendak sendiri.


“Pengundian adalah proses asas dalam sistem demokrasi dan merupakan peluang kepada masyarakat untuk bersuara tentang isu yang dihadapi seterusnya menentukan siapa yang akan memimpin mereka,” katanya.


Dari segi penglibatan dalam parti politik, Ray Lysander berkata, majoriti golongan 18 tahun sudah melibatkan diri dalam politik seperti menyuarakan pendapat melalui media sosial atau rakan-rakan dan keluarga.


“Generasi muda adalah pewaris kepimpinan negara pada masa hadapan, oleh itu memang wajar kami diberi peluang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi,” katanya.



Ielleuzy Dell Beayya Jainal, 17, dari kampung Rukom Darat Kudat turut menyokong langkah kerajaan menurunkan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun dan tiada sebab ia tidak dapat dilaksanakan.


"Pada usia ini, remaja sudah boleh berfikiran secara terbuka dan peka terhadap situasi semasa. Selain itu, mereka juga dapat membuat pertimbangan serta penilaian ke atas sesuatu perkara mengikut kehendak sendiri, sebab itu mereka juga matang dari segi memilih calon semasa pilihan raya," katanya.


Ielleuzy Dell Beayya

Dari segi penglibatan golongan muda dalam politik, katanya, ia satu langkah yang baik bagi memastikan suara anak muda didengari.


"Usia sering dijadikan kayu ukur bagi kematangan seseorang, tapi bagi saya, ia bergantung kepada individu itu sendiri dan faktor umur tidak menjadi penentu kelayakan dalam soal melibatkan diri dalam politik.


"Malahan, mereka yang berumur 18 tahun ramai yang telah memasuki alam perkerjaan dan layak memiliki lesen memandu dan ada yang sudah berkahwin,” katanya dan menambah, Malaysia agak ketinggalan berbanding negara serantau yang sudah lama menurunkan umur layak mengundi kepada 18 tahun.


Pelajar SMK Sikuati Kudat itu berkata, dia sudah bersedia untuk mengundi dan mahu memilih calon yang betul-betul berkualiti.


"Sebenarnya, saya kurang minat mengikuti perkembangan politik tetapi saya sering mendengar cerita pasal politik dan menyedari pemilihan calon amat penting untuk memilih kerajaan yang akan mentadbir negara dan negeri Sabah,” katanya.



photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page