top of page
nabalunews

Tiada keperluan Hajiji letak jawatan – Fairuz Renddan


4 Disember 2024


KOTA KINABALU: Tiada keperluan untuk Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor meletakkan jawatan seperti desakan Pemuda UMNO Sabah atas alasan penyebaran video dakwaan skandal rasuah yang membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan.


Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Fairuz Renddan berkata gesaan Pemuda UMNO itu juga tidak berasas memandangkan tiada sebarang peruntukan undang-undang yang memberi hak kepada mana-mana pihak untuk meminta Ketua Menteri meletakkan jawatan.


“Jawatan Ketua Menteri hanya boleh dilepaskan melalui undi tidak percaya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ataupun melalui peletakan jawatan Ketua Menteri sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Beliau menjawab gesaan Ketua Pemuda UMNO Sabah, Sufian Abd Karim yang meminta Hajiji meletakkan jawatannya sebagai Ketua Menteri agar siasatan dakwaan skandal rasuah yang dikaitkan dengan isu mineral Sabah dapat dijalankan secara bebas dan telus tanpa mengganggu pentadbiran negeri.


Fairuz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, berkata berdasarkan video yang disebarkan, ia tiada langsung menyebut Ketua Menteri menerima wang atau terlibat dengan kes yang dikaitkan dengan semua video yang tular itu.


“Malah paparan video tersebut jelas membuktikan bahawa YAB Ketua Menteri mengambil keputusan membatalkan Lesen Cari Gali (Prospecting Licence) kerana wujudnya pengaruh kartel.


“Pihak SPRM pada 17 November 2024 mengeluarkan satu kenyataan media yang menyatakan telah memulakan proses siasatan dan sehingga hari ini, nama YAB Ketua Menteri tiada langsung dipanggil untuk memberi keterangan.


“Ia sekali gus membuktikan YAB Ketua Menteri langsung tidak terlibat dengan kes tersebut,” katanya.


Beliau berkata, sehingga kini, berdasarkan sidang media Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 10 November 2024, tiada satupun laporan yang dibuat kepada SPRM berhubung pembabitan ADUN di Sabah dengan tuduhan rasuah tersebut.


Katanya, siasatan SPRM sentiasa dijalankan secara telus dan bebas, selain terpulang kepada pihak SPRM untuk mendedahkan hasil siasatan kepada umum kerana tiada apa yang perlu disembunyi seperti kenyataan Ketua Menteri pada 12 November lalu.


“Oleh yang demikian, secara perundangan, tiada satupun peruntukan yang memberi hak kepada mana-mana pihak untuk mendesak agar YAB Ketua Menteri meletakkan jawatan bagi membolehkan siasatan dijalankan secara telus dan adil.


“Suka untuk kami ingatkan, seorang ADUN yang juga pernah memegang jawatan Timbalan Ketua Menteri Sabah walaupun pada ketika itu beliau masih dalam proses perbicaraan mengenai kes rasuah yang melibatkan jutaan ringgit dan ironinya, beliau tidak pernah melepaskan jawatan beliau dan baru-baru ini Mahkamah Rayuan memerintahkan ADUN itu untuk membela diri,” katanya.


Fairuz berkata, Pemuda Gagasan Rakyat meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada pihak berkuasa khususnya SPRM yang sedang menjalankan siasatan terhadap kes tersebut.


Jelasnya, Pemuda Gagasan Rakyat akan terus menghormati proses undang-undang dan tidak sesekali terlibat dengan perbincangan serta provokasi di media sosial.

留言


bottom of page