top of page
nabalunews

Tiada masalah hubungan GRS-PH - Hajiji




3 Disember 2024


KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor mengucapkan tahniah kepada Datuk Ewon Benedick yang dipilih sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah yang baharu dan berharap hubungan kerjasama serta perpaduan, khususnya di antara PH dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), bertambah kukuh dan mantap.


Hajiji yang juga Pengerusi GRS, menyatakan keyakinannya bahawa hubungan GRS dan PH yang sudah sedia terjalin akan berterusan demi kepentingan negeri


Beliau tidak melihat sebarang masalah untuk meneruskan kerjasama dengan PH Sabah di bawah kepemimpinan Ewon.


“Ya, sudah tentu..apa masalahnya. Dia (Ewon) kawan dalam PH dan pemimpin yang kita bekerjasama sebelum ini, jadi kita teruskan usaha (untuk bekerjasama),” katanya.


Hajiji berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Pelan Strategik Pembangunan Ekonomi Daerah Tuaran 2024-2035, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Selasa.


Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu diminta mengulas pemilihan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu yang menggantikan Datuk Christina Liew sebagai Pengerusi PH Sabah, terutama dari segi hubungan kerjasama PH Sabah dan GRS selepas ini.


Hajiji berkata, kerjasama PH yang dianggotai PKR, DAP, AMANAH dan UPKO dengan GRS yang dianggotai lapan parti tempatan mampu membawa kebaikan kepada Sabah.


“Campur dengan GRS, kitapun ada banyak parti, jadi kita rapatkan kerjasama ini untuk kebaikan kita bersama,” katanya.


Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PH Sabah pada Ahad lalu menyaksikan Ewon dipilih sebagai Pengerusi PH Sabah yang baharu bagi penggal sehingga 2026.

Comments


bottom of page