Tiada peluang Kedua: 1,400 penjawat awam tidak tandatangani opsyen SSPA
21 Disember 2024
CYBERJAYA: Penjawat awam yang gagal menandatangani opsyen Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) tidak akan diberikan peluang kedua, menurut Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Beliau menegaskan bahawa tempoh masa yang wajar telah diberikan untuk membuat keputusan, dan mereka yang memilih untuk tidak menyertainya perlu kekal dalam sistem sedia ada.
"Apabila tempoh masa tersebut telah melepasi yang telah kita tetapkan, kita tidak ada lagi ruang untuk mereka membuat pilihan. Jadi mereka perlu berada dalam sistem sedia ada yang menjadi pilihan mereka.
"Bagi mereka yang telah memilih, saya ingin sekali lagi mengucapkan terima kasih kerana mereka menyokong apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan dan pastinya mereka telah mendapat gaji baharu, pada 19 Disember, sebagaimana yang dijanjikan oleh kerajaan," katanya.
Menurutnya, pelaksanaan ini membuktikan kerajaan menepati janji seperti yang dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Ini menunjukkan bahawa kerajaan tidak mengatakan bahawa itu sesuatu yang tidak boleh dipercayai. Ini menunjukkan apa yang dikatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dikotakan semalam," jelas beliau.
Tan Sri Wan Ahmad Dahlan turut mendedahkan bahawa hanya 0.03 peratus atau 1,400 penjawat awam daripada 1.5 juta tidak menandatangani opsyen SSPA.
Comments